MELAKA: Tiga mat rempit ditahan manakala 103 saman dikeluarkan dalam Op Pencegahan Samseng, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, malam tadi.
Dalam operasi selama enam jam bermula jam 11 malam, polis menjalankan sekatan jalan raya di beberapa lokasi utama di bandar raya ini iaitu di Jalan Tun Ali, Jalan Tun Perak, Jalan Syed Abdul Aziz, Jalan Bukit Senjuang dan Dataran 1Malaysia Klebang bagi membanteras kegiatan lumba haram.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata dalam operasi itu sebanyak 103 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.
"Dalam pada itu, sebanyak 19 daripada 103 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan akan didakwa di mahkamah pada masa terdekat.
"Tiga penunggang motosikal berusia 17 dan 18 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.
Beliau berkata, operasi itu disertai tiga pegawai bersama 44 anggota polis terdiri daripada Cawangan Trafik, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Sumber Op cegah samseng jalanan, 3 mat rempit ditahan