Pakar bimbang kesihatan mental, fizikal Assange

LONDON: Pengasingan pengasas WikiLeaks, Julian Assange yang berterusan selama enam tahun di kedutaan Ecuador di London, berbahaya kepada kesihatan fizikal dan mentalnya, menurut satu penilaian klinikal baharu yang dijalankan.

Sepasang doktor mencapai keputusan itu selepas menghabiskan masa 20 jam selama tiga hari, pada Oktober lalu untuk melakukan 'penilaian fizikal dan psikologi menyeluruh' ke atas Assange, lapor The Guardian semalam.

"Walaupun keputusan penilaian itu dilindungi kerahsiaan antara doktor-pesakit, pendapat profesional kami mendapati bahawa pengasingan berterusan berbahaya secara fizikal dan mental. Ia pelanggaran hak asasi manusia yang jelas terhadap penjagaan kesihatan," kata mereka dalam laporan akhbar itu.

Doktor yang juga profesor bersekutu di sekolah perubatan dan kesihatan awam Boston University, Sondra Crosby dan ahli psikologi klinikal yang berpusat di London, Brock Chisholm, menggesa Assange diberikan laluan selamat ke hospital.

Pakar klinikal itu menggesa Persatuan Perubatan British dan pihak lain untuk melobi kerajaan United Kingdom (UK) menyediakan penjagaan kesihatan, namun menyedari kebanyakan doktor enggan masuk ke kedutaan untuk merawatnya.

"Penilaian kami mendapati bahawa dia tidak mempunyai akses kepada cahaya matahari, pengudaraan yang sesuai atau ruang di luar selama lebih dari lima setengah tahun," tambah doktor.

"Ia memberikan kesan yang besar ke atas kesihatan fizikal dan psikologinya."

Assange berpindah ke kedutaan di ibu negara British itu pada 2012 untuk mengelak dari diekstradisi ke Sweden, selepas berdepan tuduhan rogol dan serangan seksual.

Walaupun pendakwa Sweden sudah menghentikan siasatan pada Mei lalu, Assange masih enggan keluar dari bangunan kedutaan kerana bimbang akan ditangkap kerana melanggar jaminannya jika berbuat demikian.

Beliau baru-baru ini menjadi warga negara Ecuador, tetapi kerajaan British berkata, langkah itu tidak mengubah status undang-undangnya. - AFP



Sumber Pakar bimbang kesihatan mental, fizikal Assange

Post a Comment

Previous Post Next Post