Pelancong China didakwa merokok dalam pesawat

TAWAU: Seorang pelancong warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan merokok di tandas pesawat semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau pada Selasa lepas.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada Li Jin Ming, 41, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Puspawati Sangut.

Dalam pada itu, Puspawati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 25 Jan ini bagi sebutan semula kes.

Lelaki itu juga diperintah menyerahkan pasportnya dan melapor diri kepada Pegawai Penyiasat seminggu sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Ho Min.

Mengikut pertuduhan, Li yang berasal dari Yunnan, China didapati merokok di dalam tandas D, pesawat Air Asia AK5746 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 ke Lapangan Terbang Tawau pada 1.01 petang, 16 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 100, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

--BERNAMA



Sumber Pelancong China didakwa merokok dalam pesawat

Post a Comment

Previous Post Next Post