Pemain cukup bersedia galas cabaran di China - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee percaya pemainnya mampu memberi tentangan sengit kepada tiga pasukan negara Arab dalam aksi Kumpulan C Kejohanan Bola Sepak B-23 AFC 2018 di China.

Biarpun bakal menghadapi tugas sukar berdepan pasukan Iraq, Jordan dan Arab Saudi, beliau yakin anak buahnya sudah cukup bersedia menentang lawan mereka itu berdasarkan persiapan dilakukan menjelang kejohanan berkenaan.

"Berdepan tiga pasukan hebat akan memberi pengalaman berharga kepada pemain. Kita tahu kita perlu berusaha keras untuk meraih keputusan positif menentang mereka dan saya percaya, pemain akan menampilkan aksi terbaik dalam kesemua perlawanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan pada Selasa. Rakaman audio sidang media berkenaan turut diperoleh Bernama.

Mengenai perlawanan pembukaan menentang Iraq di Stadium Changshu pada Rabu, Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu 'hormat' berdepan lawan mereka itu yang memiliki rekod baik pada kejohanan tersebut.

"Kita tidak boleh menafikan Iraq sebuah pasukan yang bagus, baik di peringkat remaja dan senior dalam kejohanan AFC, dan saya tidak sabar untuk perlawanan esok menentang mereka.

"Barisan pemain juga sedar kemampuan Iraq pada kejohanan itu berdasarkan rekod mereka sebelum ini, namun jika kita menggunakan strategi yang betul, saya percaya kita boleh mendapat keputusan positif menentang mereka," jelasnya.

Selepas perlawanan menentang Iraq, skuad Malaysia akan berdepan Jordan pada 13 Jan di venue yang sama, sebelum melengkapkan jadual perlawanan bertemu Arab Saudi di Stadium Kunshan, tiga hari kemudian.

-- BERNAMA



Sumber Pemain cukup bersedia galas cabaran di China - Kim Swee

Post a Comment

Previous Post Next Post