Anak jati Terengganu pastinya sudah serasi dengan nasi kerabu Fauzi sebagai hidangan wajib makan pagi. Kombinasi nasi Kerabu bersama ayam bakar serta daging bakar dengan harga berpatutan antara yang menjadi pilihan orang ramai yang sanggup beratur panjang untuk memenuhi tuntutan perut yang tidak sabar merasai keenakan nasi kerabu yang menjadi bualan ini.
Apa yang dikecapi Fauzi pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigihnya dalam memastikan produk jualannya kekal enak walaupun ketika musim gawat tanpa mengurangkan ramuan yang wajib adalah dalam nasi Kerabunya.
Selain Fauzi Nasi Kerabu, terdapat lima lagi kedai makan lain di Malaysia yang berjaya menempa nama sebagai top 50 kedai jalanan terenak dunia.
Antaranya adalah Nasi Kandar Line Clear, Char Kuey Teow Jalan Siam, Restoran Nonya Donald & Liliy, Guan Heong Biscuit Shop di Ipoh, Perak dan Warung Jalan Kuli Satay.
#1-Hanya Kedai Tepi Jalan
Tanpa sebarang dekorasi menarik yang hanya terletak di tepi jalan di Jalan Sultan Sulaiman telah berjaya ke persada dunia dengan mencipta kejutan apabila termasuk antara 50 restoran terbaik di dunia dalam The World Street Food Congress 2017.
Pemilik Fauzi Nasi Kerabu, Mohd Fauzi Mat Salleh, 49, telah berkecimpung dalam dunia perniagaan ini selama hampir 20 tahun.
Nasi kerabu yang hanya dianggap menu makanan lokal yang popular dalam kalangan penduduk Terengganu dan Kelantan yang tidak mungkin digemari lidah masyarakat antarabangsa tetapi persepsi itu berubah apabila ianya mendapat pengiktirafan di luar jangka.
#2-Rahsia Kejayaan Nasi Kerabu
Fauzi mulakan resipi sendiri dengan sentiasa memastikan kualitinya produk jualannya sentiasa terjaga. Dia sendiri akan mencuba nasi kerabu untuk menguji supaya ramuan memuaskan bagi memastikan pelanggan puas hati.
Sebagai peniaga, jika anda mahu makanan dijual berbaloi dengan harga dibayar, anda mestilah menganggap bahawa makanan yang hendak dijual itu sama dengan kehendak anda yang membeli di gerai lain. Sedap dan bersih. Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, jangan sesekali kurangkan ramuan.
Apa yang penting, dia turut menasihatkan mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan tidak mengamalkan sikap dengki atau berfikiran negatif terhadap orang sekeliling serta tidak menyekat rezeki orang lain atau melakukan cara tidak sepatutnya.
Jika perniagaan kita tidak laku atau sebagainya, jangan mudah terpengaruh dengan berfikir dan menuduh orang lain buat sihir. Apa yang penting kita sentiasa ikhlas, jujur, tidak iri hati dan tingkatkan kualiti produk.
Sumber Rahsia Nasi Kerabu Fauzi Tersenarai Sebagai Top 50 ‘Street Food’ Di Dunia