Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose ia susulan perubahan industri daripada intensif pekerja kepada intensif modal.
Malah, pengurangan tenaga kerja yang dijangka berlaku tahun ini juga disebabkan oleh perubahan daripada industri tenaga kerja kepada industri digital yang semakin rancak di peringkat global.
"Kita perlu terima hakikat bahawa jumlah itu bukanlah sesuatu yang besar berbanding dengan jumlah keseluruhan tenaga kerja di negara kita.
"Tahun demi tahun pun kita lalui perkara yang sama dan tahun lepas contohnya lebih kurang 37,000 kehilangan pekerjaan tetapi angka itu termasuk sekali dengan yang ada yang dianggap sebagai pemberhentian sukarela.
"Kita melihat perkara ini dengan lebih positif kerana kita juga dalam masa yang sama menerima hakikat bahawa ekonomi kita dijangka sentiasa berkembang," katanya pada Astro AWANI di sini hari ini.Beliau mengulas unjuran yang dibuat Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang meletakkan sektor pembuatan paling berisiko akan menghentikan kerja pada tahun ini.
Bagaimanapun tegasnya, Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam proses transisi yang berlaku dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja.
"Mereka yang diberhentikan perlu diberi latihan semula yang sesuai dan pastikan mereka masuk semula ke sektor berkaitan dengan latihan yang diberi.
"Jadi perlu ada pelarasan yang betul perlu dilakukan dalam memastikan guna tenaga kerja ini tidak disiasiakan," ujarnya.
Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan tenaga kerja adalah seperti levi yang dikenakan ke atas majikan untuk mengambil pekerja asing, Skim Insurans Pekerja (EIS) dan pelaksanaan gaji minimum yang dilaksanakan kerajaan pada Julai lalu.
"Apa yang kita anggap sebagai pemberhentian ini bukannya berhenti terus. Terdapat pekerja menceburi sektor lain yang dianggap sesuai.
"Dalam masa yang sama, kita mengambil pendekatan positif apabila kebanyakan daripada pemberhentian itu terlibat dalam sektor pembuatan dan perkilangan yang mana kita sangat bergantung kepada pekerja asing," katanya.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada Disember tahun lalu, terdapat sejumlah 15.09 juta pekerja di negara ini sehingga Oktober 2017.
Mengikut rekod, seramai 38,499 pekerja hilang pekerjaan pada 2015. Angka itu bagaimanapun menurun pada 2016 iaitu 37,699.
Selain sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan juga dijangka mengalami pengurangan tenaga kerja.
Sumber Pemberhentian kerja: Perlu pelarasan latihan semula - MPN