Tangani ekstremisme bukan dengan kekerasan semata-mata - TPM Zahid

PUTRAJAYA: Usaha menangani ideologi ekstremisme dan terrorisme tidak hanya sekadar menggunakan kaedah kepolisan dan ketenteraan, tetapi juga langkah berterusan untuk mendekati hati dan jiwa mereka yang terlibat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, atas sebab itu Malaysia mengambil langkah proaktif untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada negara-negara luar mengenai program deradikalisasi negara ini yang dikatakan telah mencapai 97.5 peratus tahap keberjayaan.

“Malaysia komited untuk menterjemahkan agenda bukan hanya sekadar dialog antarabangsa, tetapi bagi negara yang terlibat, terutamanya apa yang dipanggil sebagai negara sumber yang menimbulkan ramai kumpulan yang terlibat dalam terrorisme, militan, dan ekstremisme.

“Apa yang kita nak tekankan, bukan sekadar layani isu ini dengan kaedah kepolisan dan ketenteraan, tapi tangani jiwa dan minda mereka kerana ini soal ideologi dan soal kepercayaan, yang pada kita telah disalahertikan dan kita lihat ini adalah satu usaha yang harus melibatkan pelbagai agensi di peringkat antarabangsa,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Penutup Dialog Sekuriti Antarabangsa Putrajaya 2018 (PSID 2018), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, PSID 2018 merupakan platform yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, bersama-sama dengan Rabitah al-Alam al-Islami atau Liga Muslim Dunia bagi membincangkan dan merangka pelan tindakan yang lebih proaktif dalam usaha menangani isu berkenaan.

“Ini termasuk soal menangani Islamophobia yang selama ini mewarnai gambaran yang amat berbeda terhadap Islam kerana Islam sendiri sebenarnya mengajar kita mengenai konsep kesederhanaan,” katanya lagi.



Sumber Tangani ekstremisme bukan dengan kekerasan semata-mata - TPM Zahid

Post a Comment

Previous Post Next Post