Pemerhati: ‘Lucu’ Dr Mahathir bawa perubahan, langkah mundur

Anggapan bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri adalah melucukan, kata pemerhati. — Foto BernamaAnggapan bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri adalah melucukan, kata pemerhati. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 10 Jan — Seorang pengulas dan penganalisis menyifatkan anggapan bahawa pemilihan seorang bekas perdana menteri yang sudah berusia sembilan puluhan menerajui  pembangkang, Pakatan Harapan, mampu membawa perubahan, adalah sesuatu yang melucukan.

Sholto Byrnes, felo kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berkata tindakan  itu merupakan suatu langkah ke belakang, manakala keputusan pembangkang memilih Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui pakatan mereka serta menamakan beliau sebagai calon perdana menteri, sebenarnya mencerminkan kelemahan mereka.

Dalam ulasan beliau yang disiarkan The National, akhbar harian berbahasa Inggeris di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu pada 9 Jan, Byrnes berkata keputusan itu bukan sahaja menunjukkan bahawa pembangkang tidak mempunyai keyakinan terhadap kader mereka yang lebih muda, tetapi juga terhadap individu yang selama ini menentang Barisan Nasional (BN), parti gabungan yang memegang kuasa secara  terus menerus sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya.

Sebaliknya, tulis beliau, kemunculan Dr Mahathir untuk menerajui pakatan pembangkang membuktikan  tentang betapa kukuhnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membina kedudukan beliau dalam tempoh dua setengah tahun lepas.

Menurut Byrnes, pakatan longgar pembangkang,  yang kini diterajui dua individu yang menjadi pemimpin 20 tahun lepas iaitu Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri yang dipecat Dr Mahathir pada 1998, kini cuba berselindung di belakang satu barisan ahli politik Melayu bagi tujuan mendapatkan undi penting daripada majoriti orang Melayu.

“Bagaimanapun, gandingan baharu mereka itu tidak keruan berikutan kehadiran para ahli politik dengan  rekod yang bercanggah sepenuhnya antara satu sama lain tentang perkara berkaitan kebebasan sivil dan kebebasan bersuara, sebagai contoh – dan lebih buruk lagi, mereka yang bersikap penipu apabila mendakwa  bahawa cukai barang dan perkhidmatan yang diperkenalkan kerajaan semasa boleh ditarik balik, tanpa  menyatakan rancangan meyakinkan yang akan mereka laksanakan sebagai ganti untuk menjana hasil yang penting itu," katanya.

Pada 7 Jan, Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) sebagai calonnya bagi jawatan perdana menteri dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Byrnes berkata, dengan usia beliau 92 tahun sekarang, sekiranya terpilih menjadi pemimpin, Dr Mahathir akan muncul sebagai pemimpin kedua tertua di dunia, sebaris dengan bekas presiden Zimbabwe Robert Mugabe yang berusia 93 tahun.

“Lucu sekali apabila kolumnis pembangkang membandingkan Malaysia, yang mendapat pujian tinggi daripada Bank Dunia, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan badan antarabangsa lain kerana kejayaan kerajaannya sekarang dalam melaksanakan pembaharuan, mengemudi ekonomi secara  berhemat  dan mencatat pertumbuhan cemerlang, dengan Zimbabwe,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kerajaan yang baik dan mendapat pujian kerana keazamannya dalam memerangi keganasan puak pelampau serta kejayaannya dalam melaksanakan program transformasi ekonomi.

“Ia wajar mempunyai pembangkang yang lebih baik. Dan ada orang tertentu yang sudah berusia 92 tahun, yang sepatutnya mendapat ucapan terima kasih daripada rakyat kerana khidmat  beliau pada masa lepas – serta persaraan yang sepatutnya beliau ambil sejak lama dulu,” kata Byrnes.

Dr Mahathir mencatat rekod kerana menerajui kerajaan selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003 dan dalam tempoh itu, cara pentadbiran beliau dicop pembangkang sebagai, bersifat “autoritarian”. — Bernama



Sumber Pemerhati: ‘Lucu’ Dr Mahathir bawa perubahan, langkah mundur

Post a Comment

Previous Post Next Post