Perbuatan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah individu dengan membuang sampah dan objek dari aras tinggi di sesuatu penempatan adalah satu sikap buruk dan membahayakan nyawa penghuni lain.
Insiden berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam Kuala Lumpur, baru-baru ini dan menempatkan penduduk di pangsapuri 21 tingkat itu antara perbuatan tidak bertanggungjawab, sehingga meragut nyawa seorang remaja.
Sikap buruk penduduk
Insiden pada Isnin lalu, angkara ada individu yang membuang kerusi dan jatuh menimpa Satishwaran Sathiasilan dan membunuh pelajar berusia 15 tahun itu serta- merta dan mencederakan ibunya. Ini satu contoh dari pelbagai sikap buruk yang dilaporkan oleh penduduk pangsapuri itu sendiri berkenaan 'budaya' membuang dan mencampakkan pelbagai objek seperti kayu, batu-bata, plastik dan sampah tanpa mempedulikan keselamatan pihak lain.
Bukan sahaja nyawa boleh tergadai, harta benda seperti kenderaan yang diletakkan di ruang parkir juga boleh rosak.
Lantaran daripada insiden yang dilaporkan ini, pelbagai pihak meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka terutama penghuni yang tinggal di pangsapuri berkenaan dan mereka yang berada di aras bawah. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga disaran untuk melakukan sesuatu dengan segera supaya sikap buruk ini dapat dikawal dan dihindarkan.
Ini termasuk saranan memasang kamera litar tertutup dan jeriji besi di aras bawah. Namun, penguatkuasaan undang-undang untuk manfaat penduduk mempunyai ruang pencegahan yang sangat sempit. Sikap individu, amalan buruk di dalam keluarga sehingga masyarakat setempat terpaksa hidup dalam kalangan mereka yang pengotor, tamak dan mementingkan diri sendiri.
Budaya buruk ini perlu diubah bermula daripada individu dan keluarga mereka sendiri. Ada sesetengah pihak mengaitkan budaya sebegini disumbangkan oleh status ekonomi keluarga, latar belakang pelajaran dan kesedaran sivik yang lemah.
Amalan menjaga kebersihan dan mengutamakan keselamatan ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat kita. Namun, insiden sebegini sebagai cermin budaya buruk itu masih menghantui dan boleh merosakkan keharmonian sesuatu penempatan.
Terdedah jangkitan penyakit
Keadaan penempatan yang kotor, sampah dibuang merata-rata dan bau yang busuk akan mendedahkan kepada kes jangkitan penyakit berjangkit seperti infeksi kencing tikus, infeksi cacing, demam denggi, serta pelbagai bentuk penyakit berjangkit.
Status kesihatan sesuatu penduduk akan menurun bila mana penyakit berjangkit sering terjadi, terutama penduduk di bandar. Kepadatan penduduk di sesuatu penempatan seperti di pangsapuri ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penambahan kes penyakit berjangkit.
Tahap pemikiran dan budaya kehidupan yang sempurna adalah suatu tuntutan untuk mencapai keharmonian sesuatu komuniti. Kesihatan mental yang stabil dalam kalangan individu juga menyumbang kepada pembentukan ahli keluarga supaya mereka terdidik dengan budaya dan sikap yang baik.
Mentaliti kelas ketiga tiada ruang sebenarnya untuk kita terus membiarkan mereka bersama-sama dalam memajukan sesuatu bangsa dan negara. Infrastruktur yang tersergam indah tiada maknanya jika dikendalikan oleh mereka yang tidak bersedia untuk berubah, malah menjadi parasit dalam sesuatu masyarakat. Ayuh, ubah segera sikap dan amalan buruk kerana ianya tiada memberi manfaat untuk kita semua.
Penulis adalah Pengarah Program Perubatan Sekolah, Perubatan, International Medical University dan Setiausaha Agung Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia
Sumber Penghuni PPR kena kikis budaya buruk