RCI bongkar isu Memali dari sumber sahih

Ketika menyampaikan ceramah sempena Sambutan Kemerdekaan ke-60 di Kolej Universiti Insaniah Kedah, seorang pelajar bertanyakan kewajaran menubuhkan Suruhanjaya Khas Diraja, berkaitan tragedi berdarah Memali.

Secara spontan saya menjelaskan, jika ada hal belum selesai dan demi keadilan ia memang wajar. Tetapi, jika ia sekadar membuka ruang kepada polemik politik dan membangkitkan 'fitnah yang sedang tidur' atau mengaibkan seseorang, eloklah didiamkan sementara waktu hingga ada fakta baharu ditemui.

Seterusnya, menyusul tulisan Shamrahayu Ab Aziz, 'Keperluan RCI & Fakta Memali' dalam Mingguan Malaysia, baru-baru ini menarik minat saya untuk mengulas hierarki sumber peristiwa hitam itu dari sudut sejarah.

Umumnya, sumber kedua berkaitan tragedi ini memang ada; misalnya Memoir Tragedi Memali oleh Riduan Mohamad Nor dan Cikgu Non (CN Afghani), Kafirkah Aku oleh CN Afghani, Frankly Speaking oleh Tun Musa Hitam dan beberapa tulisan akademik lain. Semua penulisan ini memang bersandar kepada sumber yang boleh dipercayai.

Tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa pada 19 November 1985 tidak pernah senyap. Mereka yang terbabit atau menyaksikan peristiwa itu pasti melekat dalam memori. Sekalipun 'diam' seketika ketika Tun Dr Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri, mungkin bimbang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka dipendam ke lubuk hati buat sementara waktu.

Hakikatnya, segala-galanya boleh dibongkar semula jika ada fakta dan bukti baharu. Inilah signifikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) demi membetulkan beberapa perkara khilaf sebelum itu. Namun, pihak kerajaan tidak perlu 'melatah' atau tergesa-gesa menubuhkan RCI tanpa meneliti terlebih dahulu isu yang dibangkitkan.

Pun begitu, untuk menolak cadangan penubuhan RCI mentah-mentah juga tidak wajar apatah lagi jika ada keperluan dan memenuhi syarat penubuhannya.

Sumber sejarah secara umumnya terdiri daripada rekod bertulis, tradisi lisan, tinggalan artifak dan inskripsi serta sebarang objek yang boleh memberi penjelasan mengenai kewujudan sesuatu peristiwa itu. Bagi Louis Gottschalk, sumber adalah bahan bukti dalam bentuk tulisan, catatan dan saksi utama sesuatu peristiwa bersejarah.

Kebanyakan sumber ini disimpan di tempat khusus dan selamat seperti di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan pejabat yang mempunyai ruang atau kemudahan menyimpan rekod.

Bukanlah pelik apabila sesuatu fakta sejarah dipertikaikan kerana ia berkait rapat dengan sumber. Dalam ilmu sejarah, sumber primer atau sumber awalan, sumber pertama, sumber utama atau sumber sezaman (first-hand sources) adalah lebih kuat untuk dipercayai kerana mereka adalah saksi yang terbabit dalam peristiwa berkenaan.

Perjelas kebenaran

Penggunaan sumber pertama dapat menjelaskan kebenaran sejarah dengan lebih tepat dan menghasilkan penulisan lebih berkualiti. Dalam konteks ini, selain Kertas Perintah 21 1986, sumber pertama ialah individu yang terbabit atau mereka yang merasai dan melihat peristiwa itu. Hingga kini, kebanyakan mereka masih hidup, termasuk di pihak kerajaan.

Pendedahan Musa seolah-olah beliau 'dikunci mulut' ketika masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu dipandang serius. Dari sudut sumber sejarah, pendedahan Musa dan kesediaan saksi lain yang terbabit untuk menjelaskan fakta sebenar perlu dilihat dalam sudut positif.

Bagi mengelak fakta sejarah rasmi Memali terus 'bersimpang siur' atau dimanipulasi , eloklah sumber pertama diberi keutamaan. Saksi yang masih hidup wajar ditemubual semula dalam keadaan mereka rela dan bersedia. Antaranya termasuk Datuk Yusuff Hussin dan balu Allahyarham Ibrahim Libya yang mendakwa mereka dipaksa memberi kenyataan bercanggah dengan situasi sebenar.

Demikian juga Musa dan beberapa orang pegawai kerajaan lain yang mengetahui secara tepat kejadian peristiwa itu. Melalui 'penyiasatan semula' ini sekurang-kurangnya dapat menyangkal bahawa sejarah hanya ditulis oleh golongan yang menang.

Berpegang kepada satu sumber sahaja adalah tidak praktikal. Bergantung kepada dokumen bertulis semata-mata juga tidak bijak kerana ia adalah 'ciptaan' manusia yang mungkin mempunyai sikap berat sebelah, prejudis, persepsi yang selektif hingga berlaku ubah suai oleh mereka yang mempunyai kepentingan terhadap peristiwa itu.

Justeru, menggali seberapa banyak sumber adalah langkah terbaik bagi mendapatkan fakta sebenar.

Ahli sejarah bertanggungjawab menjelaskan sesuatu perkara lepas berdasarkan kebenaran peristiwa sejarah yang berlaku. Ahli sejarah perlu bersikap kritis hingga ke tahap mengenal pasti penulis dokumen, khususnya kedudukan dan peranannya ketika peristiwa itu berlaku.

Namun, perlu juga diingat ia bukanlah fakta yang boleh dipercayai atau diterima begitu sahaja. Boleh jadi sumber pertama memang terbabit atau menyaksikan kejadian, tetapi ia mempunyai sentimen atau emosi tertentu hingga berkemungkinan besar akan bersikap berat sebelah.

Ketepi isu gimik politik

Mereka yang pernah dikenakan hukuman pula mungkin dibaluti sentimen ingin balas dendam. Justeru, hal ini memerlukan kritikan sumber yang bersifat kesangsian atau ragu-ragu sebagai prasyarat sebelum yakin akan kesahihannya.

Mungkin ada yang beranggapan penubuhan RCI sebagai gimik politik politik PRU-14. Hal ini perlu diketepikan dan kerajaan perlu berpegang kepada Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu, 'semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang'.

Sementara itu, kesediaan kerajaan menubuhkan RCI seperti yang dikatakan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula membuktikan pihak kerajaan sentiasa telus menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik, UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP)



Sumber RCI bongkar isu Memali dari sumber sahih

Post a Comment

Previous Post Next Post