KUANTAN: "Petang kelmarin saya jumpa arwah di rumah neneknya di Kampung Tiram, tanya khabar dia, kesihatan dan pelajaran dia, tiba-tiba awal pagi tadi saya dikejutkan dengan berita pemergian dia," kata Fatimah Mohd Zain.
Ibu kepada Muhammad Al Asyraf Danial Al Assadi, 17, itu, berkata anak sulungnya itu yang sedang belajar di sebuah sekolah agama di Kemaman, Terengganu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, jam 1 pagi semalam.
Fatimah yang berniaga sendiri, berkata beliau tidak dapat menahan rasa sebak sebaik melihat wajah anaknya di Jabatan Forensik HTAA.
"Berdasarkan laporan bedah siasat, dia meninggal dunia akibat lemas, terdapat juga kesan lebam pada mukanya selain paru-paru dimasuki lumpur banjir," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah neneknya selepas mengunjungi rumah rakan.
Difahamkan, dia meredah air paras lutut sebelum dikatakan terjatuh dan tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya. Mangsa ditemui penduduk kampung sejam kemudian sebelum dihantar ke HTAA.
Fatimah berkata, dia dimaklumkan penduduk di Kampung Tiram sudah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara berhampiran, namun tidak tahu mengapa anak lelakinya itu pulang semula ke rumah neneknya.
"Saya reda dengan pemergian dia. Ini ujian Allah kepada kami," katanya sambil menambah, jenazah Muhammad Al Asyraf Danial akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alai, Melaka.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber `Petang jumpa pagi meninggal dunia'