PM: Institusi agama perlu tangani keganasan, ekstremisme

Peranan institusi agama tidak harus hanya tertumpu untuk menyebarluaskan kepercayaan, kata Datuk Seri Najib Razak. — Foto oleh Azinuddin GhazaliPeranan institusi agama tidak harus hanya tertumpu untuk menyebarluaskan kepercayaan, kata Datuk Seri Najib Razak. — Foto oleh Azinuddin GhazaliPUTRAJAYA, 6 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata peranan institusi agama tidak harus hanya tertumpu untuk menyebarluaskan kepercayaan tetapi juga perlu aktif menangani keganasan dan ekstremisme.

Beliau menggesa para ilmuan dan institusi agama untuk lebih berperanan dan inovatif dalam merumuskan kaedah-kaedah bagi menangani ideologi ekstrem dan naratif yang telah diputarbelitkan tentang obligasi agama.

“Propaganda Daesh dan pengikut mereka amat bijak dan licik.

“Kita perlu melakukan apa sahaja yang ada dalam kuasa kita untuk menjelaskan secara terperinci kenapa tindakan mereka adalah bercanggah dengan Islam,” katanya semasa merasmikan penutupan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini.

PISD 2018 yang berlangsung selama dua hari bertemakan ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’ dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Arab Saudi.

Najib menegaskan pada forum itu bahawa kesederhanaan merupakan perisai paling penting terhadap ideologi ekstrem, fahaman radikal dan keganasan.

Beliau turut menggesa pemimpin Islam untuk menyediakan pelan induk bagi pendidikan berlandaskan teologi Islam yang berpaksikan kesederhanaan dari segi undang-undang dan amalan untuk ummah di seluruh dunia.

Memberikan contoh ayat dalam al-Quran, Najib berkata Muslim merupakan orang yang sederhana.

“Ini sebahagian daripada teologi dan fiqah kesederhanaan dalam Islam. Saya menggesa para ilmuan untuk membina teologi ini berlandaskan Quran dan Hadis. Saya menggesa pemimpin kita untuk menyediakan pelan induk bagi pendidikan dan pengajaran teologi ini untuk ummah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata para imam, guru agama, pakar media, golongan perniagaan, ahli politik dan pakar menangani keganasan juga perlu menjadi sebahagian daripada pelan induk itu.

“Pelan induk ini akan menggerakkan kita ke arah persatuan-persatuan  dan kerajaan-kerajaan yang akan secara proaktif melaksanakan teologi kesederhanaan dalam undang-undang dan amalan,” katanya.

Najib berkata Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) telah menjadi pusat penting bagi pengumpulan maklumat dan penyebaran bahan untuk menggalakkan kesederhanaan dan usaha memerangi ekstremisme dan keganasan.

Katanya penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia akan membetulkan salah tanggapan tentang Islam serta menangani naratif yang merosakkan dalam talian oleh Daesh dan kumpulan ekstremis yang lain.

Najib turut mengambil peluang  merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang memastikan negara selamat.

“Saya ingin beri jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada pengganas atau berkompromi. Keselamatan rakyat akan senantiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.

Turut hadir pada majlis penutupan  itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Rabitah al-Alam al-Islami Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa. — Bernama



Sumber PM: Institusi agama perlu tangani keganasan, ekstremisme

Post a Comment

Previous Post Next Post