KUALA LUMPUR: Empat telefilem menarik bertemakan Istimewa AJL menampilkan barisan nama popular akan menemui penonton menerusi slot Cerekarama di TV3 bagi menghangatkan lagi Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32).
Disiarkan setiap Sabtu bermula jam 10 malam ini, telefilem itu menyaksikan penyanyi yang pernah melakar nama di pentas AJL seperti Datuk Hattan, Ziana Zain, Datuk Awie dan Akim & The Majistret beraksi sebagai pelakon utama.
Telefilem Dari Kekasih Kepada Kekasih membuka tirai slot istimewa itu pada malam ini, menampilkan aksi Hattan sebagai pemandu lori yang sering menghantar barang dari ibu kota ke Kuala Pilah. Setiap kali ke situ, dia akan berhenti di satu tempat untuk memerhatikan bekas kekasihnya, Rita.
Hattan yang kecewa selepas kekasihnya dipaksa berkahwin dengan abangnya, Zakuan membawa diri ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi rock, namun gagal. Konflik bermula apabila dia cuba menyelamatkan Rita dan Amir daripada berterusan diganggu Zakuan.
Cerekarama itu turut menampilkan Sharifah Shahirah, Aman Graseka, Ropie, Joey Daud dan adik Shamim.
Sementara itu, telefilem Datin Glam yang bakal bersiaran pada 13 Januari pula membariskan gandingan hebat Ziana bersama Norman Hakim, Rita Rudaini, Amyza Aznan, Norlia Ghani, Ku Faridah dan Datuk Chef Wan.
Ia berkisar mengenai Nona yang ke Kuala Lumpur untuk menjaga sepupunya, Datin Ros yang terlantar tenat. Selepas Datin Ros meninggal dunia, Nona berkahwin dengan Datuk Kamal. Sejak itu, dia mula mengubah penampilannya bersesuaian status baharunya sebagai Datin.
Telefilem Jodoh Tak Pernah Salah Alamat yang dijadualkan bersiaran pada 20 Januari pula menampilkan Akim & The Majistret sebagai teraju utama di samping Raysha Rizrose, Sharifah Shahora dan Adam Shah mengisahkan Luqman yang mengenali gadis seksi, Diana ketika terbabit dalam satu kemalangan.
Luqman sentiasa berprasangka buruk terhadap Diana. Suatu hati, ketika ke masjid, Luqman bertemu Adiwiyah tanpa mengetahui gadis itu sebenarnya Diana yang sudah berubah.
Awie pula akan beraksi sebagai cikgu sado berstatus duda yang menjadi rebutan gadis, termasuk Cikgu Mawar dan Julia dalam telefilem Studio Awie yang akan ditayangkan pada 27 Januari ini. Selain Awie, telefilem itu turut menampilkan Liyana Jasmay, Jasmin Hamid, Puteri Balqis, Muntazar Ghufran dan Ahya Rosli.
Maklumat lanjut mengenai sesi ramah mesra AJL 32 dan juga telefilem menarik sempena acara hiburan berprestij yang bakal berlangsung pada 11 Februari ini boleh diikuti menerusi laman sosial Facebook, Twitter & Instagram: @TV3Malaysia.
Sumber Nama popular hangatkan telefilem istimewa AJL 32