Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut kuasa yang diperuntukkan jika menerima laporan rasmi berkaitan kes penyelewengan.
"Secara rasmi, PTPTN tidak menerima aduan daripada pelajar berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam sidang media mengenai isu IPTS perdaya pelajar.
"Namun demikian, kita pandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan lanjut sesuai dengan bidang kuasa mengikut akta dan peraturan yang kita ada.
"Bagi PTPTN, sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
BACA: IPTS kaut untung? 'Songlap' sebahagian wang PTPTN dan zakat penuntutSebelum ini, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendakwa ada IPTS memperdaya pelajar dan menyeleweng pinjaman PTPTN yang mereka uruskan.
PPIM turut mendedahkan seorang pelajar perempuan terpaksa menanggung bebanan hutang hampir RM70,000 gara-gara pemotongan bayaran berasingan yang ditolak melalui pinjaman PTPTN bagi setiap semester oleh pihak kolej.
Dalam pada itu Shamsul berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan IPTS dan pelajar berkenaan mengenai isu yang dinyatakan dalam tempoh terdekat.
"PTPTN akan meneliti perkara ini bagi memastikan pelajar yang menerima pembiayaan mendapat pembelaan.
"Jika terbukti dan ada beberapa perkara yang berlaku itu di bawah bidang kuasa PTPTN, kita akan mengambil tindakan mengikut kuasa yang ada.
"Jika ia di bawah kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) maka kita akan berbincang dengan mereka agar perkara ini diselesaikan," katanya.
Katanya, ia akan dilakukan sebaik sahaja pihaknya memperoleh maklumat lengkap mengenainya.
Nadzim pada sidang medianya turut meminta supaya KPT bersama PTPTN memantau operasi IPTS.
Tegasnya, mereka tidak mahu sesiapa mengambil kesempatan, terutama dalam isu pendidikan yang dianggap amat sensitif kepada masyarakat.
Sumber PTPTN kerjasama dengan KPT dalam isu IPTS tidak telus - Shamsul