JERLUN, 8 Jan — Ungkapan ‘Rumahku Syurgaku’ tiada erti bagi seorang suri rumah, Nur Hapizah Azmi, 37 dari Kampung Tempayan Pecah, di sini apabila rumah pusaka yang didiaminya serba daif akibat dimakan anai-anai sejak 30 tahun lalu.
Katanya pendapatan suaminya, Hasan Abdullah, 39, sebagai pengendali jentera penuai dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan tidak mampu membaik pulih rumah itu yang menelan kos yang terlalu tinggi.
“Selepas angin kuat menerbangkan bumbung rumah kami dua tahun lalu, zink nipis yang diganti pula berlubang, malah kayu siling, papan dan tiang rumah berlubang dimakan anai-anai.
“Kalau nak bina baharu, kami tak mampu kerana boleh dikatakan keseluruhan rumah reput dan berlubang sehingga terpaksa menahan bekas setiap kali hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Selain Nur Hapizah dan suami, turut menetap di rumah sama ialah datuknya, Mansoff Senapi, 82, yang mengalami sakit tulang belakang dan tekanan darah rendah serta memerlukan kira-kira RM250 sebulan bagi membeli ubat-ubatan dan lampin pakai buang.
Prihatin dengan kesempitan hidup yang dialami, Setiausaha Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masyarakat Miskin Negeri Kedah A Sundralingam menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan dan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Kita akan buat tindakan susulan dengan membantu memohon bantuan baik pulih rumah Nur Hapizah dari pejabat menteri besar agar keluarga ini dapat hidup selesa seperti orang lain.
Hadir sama Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Kubang Pasu Azhari Salleh.
“Siasatan telah dibuat dan kita akan cuba membantu dengan memberi bantuan sewajarnya sepertibina rumah baharu atau bantuan bulanan kepada keluarga ini,” kata Azhari.
Sesiapa yang ingin membantu bolehlah membuat sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional02134-29-00011003-2 atau menghubungi Hassan Abdullah di talian 017-5992847. — Bernama
Sumber Rumah uzur dimakan anai-anai, wanita mohon bantuan