Ucap terima kasih atas doa semua. (Pic: Instagram @adpadiputra)
Pelakon Datuk Adi Putra selamat melangsungkan pernikahan kali kedua dengan Aida di Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut kenyataan diberikan oleh Adi kepada Rojak Daily Kaw! dia berterima kasih kepada semua peminat dan sahabat yang tidak putus memberi sokongan untuknya .
"Terima kasih atas ucapan tahniah dan doa semua. Doakan perkahwinan ini kekal selamanya.
"Perkahwinan ini adalah kesinambungan hubungan kami 12 tahun lalu. Jadi saya percaya ini adalah jodoh dan ketentuan Allah SWT yang sudah ditetapkan untuk kami.
"Oleh itu, tidak ada apa yang perlu saya jelaskan mengenai keputusan mengahwini semula dengan Aida," katanya.
Dengan perkahwinan itu, Adi ingin meningkatkan lagi taufiq dan hidayah, menjaga hubungan kekeluargaan, sahabat, peminat, ummah dan masyarakat.
"Setiap yang berlaku dalam kehidupan ini adalah aturan Allah SWT. Siapalah saya untuk menindakkan semua ini. Saya yakin, Allah SWT mempunyai perancangan yang terbaik untuk setiap hambanya.
"Saya juga anggap ini peluang yang diberikan Allah SWT untuk kami perbaiki lagi hubungan yang pernah dilalui sebelum ini. Biarlah yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran bersama," katanya.
Adi dan Aida bernikah buat kali pertama pada 14 April 2006 namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Mereka kemudiannya mengambil seorang anak angkat, Zara Adelia yang kini berusia enam tahun.
Sedikit mengejutkan apabila pelakon itu berkahwin dengan Norshahida Dzolkifly, 34, pada 20 Jun 2016.
Berlaku kontroversi apabila Adi dalam kenyataannya menerusi Instagram pada 23 Mac tahun lalu memberitahu bahawa dia tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan kedua-dua isterinya itu.
Kami mendoakan semoga perkahwinan ini bahagia ke Jannah.
Sumber “Saya Anggap Ini Peluang Yang Diberikan Allah SWT Untuk Kami Baiki Hubungan Yang Pernah Dilalui Sebelum Ini” - Datuk Adi Putra