The Lost World Of Sabah - Maliau Basin, Destinasi Terbaik Buat Pencinta Alam Semulajadi

The Lost World Of Sabah - Maliau Basin, Destinasi Terbaik Buat Pencinta Alam Semulajadi

Foto: Farish Aziz

Kalau anda bercadang untuk mengembara ke negara Sabah dalam masa terdekat ataupun merancang ke sana suatu hari nanti, anda harus selitkan Maliau Basin yang terkenal sebagai The Lost World of Sabah sebagai salah satu destinasi kunjungan.

 

Jika anda pernah 'google' tentang Maliau Basin, yang terkeluar mungkin tentang misteri disebaliknya namun apa yang misteri itu adalah khazanah alam semula jadinya yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang masih belum terungkai sehingga kini. Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, kawasan hutan ini disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari atas laut.

 

Maliau Basin yang mendapat namanya daripada besen Maliau ataupun Lembangan Maliau kerana dikatakan kawasannya berbentuk sebuah besen, ia menjadi syurga kepada pencinta flora dan fauna di seluruh dunia. Maliau itu sendiri membawa maksud kelam dalam bahasa kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya.

 Sebahagian hidupan di Maliau Basin.

Berkesempatan untuk mengembara ke Maliau Basin, Farish Aziz, pelakon, pengacara dan kini pengurus stesen radio KK12 FM di Sabah berpeluang untuk menceritakan pengalamannya pertama kali berkunjung ke syurga alam semula jadi penuh misteri di Sabah ini.

 

Pernah melakukan aktiviti trek hutan di Gunung Kinabalu, Nepal hingga ke Trek Bushes di Jerman, Farish memang terkenal sebagai penggemar adventure. Namun jika anak Sabah sendiri tidak pernah sampai ke destinasi bertaraf dunia, Maliau Basin, ruginya! Berpunca dari situlah membuatkan dia mengambil keputusan bersama teman-teman dan ahli keluarga untuk mengembara ke Maliau Basin baru-baru ini.

 Trek di hutan Maliau Basin.

Menurut Farish, "Saya pernah panjat Kinabalu dan ke Nepal jadi permulaannya saya agak pandang rendah pada Maliau Basin. Tapi bila sampai, kawasan ni memang lain dari yang lain. Hutannya, haiwan, tumbuhan, memang saya tak jangka, tersangat cantik dan bertaraf dunia. Sebab itulah kawasan ini dipanggil The Lost World oh Sabah."

 

Menceritakan pengalamannya menjejaki trek ke dalam Maliau Basin, dari Kota Kinabalu, mereka menempuh lapan jam perjalanan menaiki kereta kerana Maliau Basin terletak jauh di Selatan Sabah, kira-kira 40 kilometer di utara sempadan Kalimantan. Mereka bersembilan perlu berjalan menerusi trek berpuluh kilometer ke dalam 'ruang besen' dan bermalam di sana. "Hutan disini sangat berbeza. Bayangkan ada 12 jenis hutan dan sukar saya jelaskan dengan kata-kata. Ada satu kawasan hutan yang saya lalui, dipanggil Mossey Forest, suasananya betul-betul macam saya berada dalam hutan 'Alice in Wonderland', macam set filem Hollywood. Apa yang saya cerita ni mungkin hanya 10% daripada gambaran sebenar Maliau Basin dan anda kena pergi sendiri untuk rasai pengalaman ni, cukup berharga", jelas Farish lagi.

 Antara kem di Maliau Basin.

Hari pertama:

 

Hari pertama trekking kami bermula jam 8 pagi di Kem Agathis. Dalam 2.7km pertama kami menaiki bukit curam (naik ke puncak besen), 5km seterusnya membawa kami ke kem pertama iaitu Camel Trophy Camp. Semua ini dalam masa 5 jam 44 minit. Berehat lebih kurang satu jam, kami letak barang dan terus ke 3 air terjun yang jaraknya 3km dari camp kami iaitu air terjun Fowzi, air terjun Takob-akob dan air terjun Giluk. Kami kembali ke Camel trophy camp jam 7.30 malam dan bermalam disitu.

 

Hari kedua:

 

Hari Kedua kami mulakan jam 8pagi, berjalan sejauh 6km melalui beberapa jenis hutan, termasuklah Mossy Forest dan sampai ke satu simpang yang membawa kami ke Maliau Falls (5km) dan kem kami yang kedua iaitu Ginseng Camp. Kami letakkan bag kami disana dan sambung trekking ke air terjun Maliau sebelum patah balik ke Ginseng Camp pada jam 7 malam.

 

Hari ketiga:

 

Hari terakhir, kami lalui trek sejauh 9km dari Ginseng Camp ke Agathist Camp. Kami bermalam di kem utama sebelum balik ke Kota Kinabalu keesokkan harinya. Jadi jumlah keseluruhan trek kami adalah 39.4km.

 Kuatkan fizikal dan mental sebelum masuk ke hutan ini.

Ini mungkin sebahagian gambaran yang boleh anda bayangkan jika merancang untuk ke Maliau Basin. Hutan ini memang mencabar fizikal dan mental jadi persediaan yang rapi sangat penting sebelum anda ke sini. Kata Farish lagi, "seperti biasa trekking hutan belantara ni, pacat akan sentiasa menjadi teman sejati anda, waktu malam dipenuhi dengan bunyi-bunyi unggas, cicada, babi hutan, rusa campur hembusan angin serta bunyi air terjun. Pengalaman ini mungkin anda akan dapat hanya di Maliau Basin."

 Farish Aziz bersama Fowzi Falls.

Istimewanya lagi hutan ini bagi Farish sendiri secara peribadi, adalah kerana salah satu air terjun disini dinamakan sempena nama bapa mertuanya, arwah Datuk Dr. Fowzi Razi. "Ayah mertua saya ketika hayatnya amat ‘rapat’ dengan Maliau Basin, beliau memperjuangkan agar hutan-hutan ini terus dipelihara, jalan-jalan utama  ke Maliau dinaik taraf, dan sering menjadikan Maliau Basin sebagai pusat ‘team building’ bagi pekerja-pekerja beliau sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2015. Beliau sendiri telah menjelajahi Maliau sebanyak 17 kali dan bagi memperingati jasa beliau, Maliau Basin Conservation Area (MBCA) telah menamakan salah satu air terjun tersebut kepada Fowzi Falls", jelas Farish lagi.

 

Pesanan terakhir untuk pencinta alam semula jadi ini sebelum memulakan penjelahan mereka? Rajin bersenam untuk tambah stamina dan kekuatan diri. Tambahnya lagi, "pek makanan yang berpatutan dan bawa banyak manisan seperti gula-gula, bar coklat dan buah-buahan sebagai sumber tenaga. Lagi best kalau anda boleh kaji dulu video-video Maliau Basin di YouTube dan baca review orang yang pernah menjelajah ke sini. Sentiasa beringat juga, jangan jadikan trek Maliau Basin sebagai tempat berlumba. Nikmati segala ciptaan Tuhan dan rasakan sendiri pengalamannya".

 

Sumber The Lost World Of Sabah - Maliau Basin, Destinasi Terbaik Buat Pencinta Alam Semulajadi

Post a Comment

Previous Post Next Post