KOTA SAMARAHAN: Tindakan pantas pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Kuching-Kota Samarahan berjaya menyelamatkan premis itu daripada terbakar selepas dilempar bom petrol, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 12.07 tengah malam itu, dua lelaki bermotosikal datang ke stesen minyak berkenaan.
Sebaik menghampiri mesin pam, pembonceng tiba-tiba menyalakan sumbu bom petrol yang diletakkan dalam sebuah botol lalu melemparkannya sebelum memecut lari.
Melihat api menyala dekat dengan pam itu, dua pekerja segera menyembur debu kering dan berjaya memadam api sebelum menyambar mesin pam berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sebaik menerima panggilan pada jam 12.07 tengah malam, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi.
"Berikutan kebakaran sudah berjaya dipadam, pihak bomba hanya membuat pemantauan dan mengambil maklumat untuk memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran," katanya.
Sumber Stesen minyak dilempar bom petrol