Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Barisan Nasional (BN) tidak perlu bimbang dengan tindakan pakatan pembangkang yang mencalonkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, lapor Berita Harian.
Katanya, tindakan itu hanya strategi pembangkang dan menjadi hak mereka untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang mereka suka. Sebaliknya, BN ada perkara lebih penting yang perlu dilakukan iaitu terus berkhidmat untuk rakyat seperti yang dilakukannya selama ini kerana rakyat dapat membuat penilaian sendiri berdasarkan kemajuan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati pada hari ini.
"Pembangkang mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri (jika menang PRU-14), jadi saya ucapkan selamat kembali kepada beliau.
"Terpulang kepada mereka untuk meletakkan tokoh tertentu sebagai pemimpin (calon perdana menteri). Bagi BN, kita perlu bekerja kuat untuk pastikan rakyat dapat membuat penilaian yang baik terhadap perkhidmatan yang kita berikan selama ini," katanya.
Mohamad Hasan berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Wisma Negeri yang turut hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.
Pakatan Harapan kelmarin telah mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri, jika pembangkang berjaya memenangi PRU-14 akan datang.
Sementara itu di media sosial, netizen memuji dan kagum dengan kenyataan Mohamad Hasan yang dianggap tidak cepat melatah dan memberikan kenyataan yang 'profesional'.
"Hanya orang yang ikhlas dan benar sahaja boleh memberi kenyataan begini. Orang Negeri Sembilan (N( tak ada yang benci beliau termasuk saya. Banyak kelonggaran diberi beliau kepada rakyat N9. Low profile sangat. Pergi mana-mana tak ada escot ramai-ramai.
"Semua perayaan disambut baik oleh beliau. Nak buat perniagaan di N9 bukan susah sangat pun. My vote not for party, but for this person always will have.
"Saya berharap beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan," kata Joshua Selvapandian.
"Alhamdulillah, semoga Tok Mat sentiasa dalam petunjuk dan hidayah Allah. Kalau PM berjiwa seperti Tok Mat, inshaAllah tenang dan damai rakyat Malaysia.
"Ikut contoh peribadi dia, tak ada fitnah sesama sendiri. Rakyat N9 beruntung dapat MB seperti Tok Mat. Syukur ya Allah," kata Qurratul Ain Sufaz.
"Itu sebab saya tak benci 100% pada UMNO. Inilah sebabnya, Tok Mat kita ni. Kipidap Tok Mat, tolong maintain percakapan dan ulasan sebegini. Tak perlu nak keluarkan kenyataan mengampu. Rakyat boleh menilai. Steady lah!" Kata El D'suhail.
Sumber 'Tak perlu bimbang pembangkang calonkan Tun Mahathir sebagai calon PM' - Netizen puji dan kagum dengan kenyataan MB Negeri Sembilan
Tags:
thereporter