SHAH ALAM: Mengaku rakyat Malaysia tetapi tidak tahu menyanyi lagu Negaraku.
Itu antara taktik warga asing ketika cuba mengelak ditahan pihak berkuasa di sekitar Sri Muda, Seksyen 25, di sini, petang tadi.
Lelaki berusia 20 tahun itu antara 69 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi bersepadu bermula selama dua jam bermula jam 2 petang.
Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 66 pegawai dan anggota Imigresen serta 24 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Pihak kami memeriksa 40 premis serta 123 individu. Hasil daripada pemeriksaan. Kami menahan 69 PATI berumur lingkungan 20 hingga 55 tahun.
"Daripada 69 PATI, seramai 53 adalah lelaki manakala 16 perempuan, terdiri dari warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Filipina," katanya ditemui pemberita selepas mengetuai operasi, di sini.
Omran berkata, serbuan dilakukan hasil risikan mengenai kewujudan PATI di kawasan berkenaan.
"Kebanyakan pendatang ini terkejut dengan kehadiran kami serta cuba untuk melarikan diri, namun sempat dikawal oleh pihak kami.
"Antara kesalahan adalah tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tamat tempoh pas serta salah guna pas mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.
Sumber Tak tahu nyanyi lagu Negaraku