KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun ditemui lemas hari ini selepas tergelincir ketika menunggang basikal bersama beberapa rakan di tali air di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu, semalam.
Muhammad Zul Hisyam Md Hashim ditemui jam 4 petang selepas diselamatkan penduduk kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan menunggang basikal melalui jambatan di lokasi terbabit sebelum dia tergelincir jatuh ke dalam tali air.
Katanya, rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung sebelum mereka menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu.
"Penduduk kampung menghubungi polis jam 3.41 petang dan pada masa yang sama, mereka melakukan gerakan mencari dan menyelamat.
"Sebaik tiba di tempat kejadian jam 4.20 petang, mangsa sudah ditemui penduduk kampung dan dibawa ke tebing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sumber Tali air ragut nyawa budak