Tangani isu roboh kuil di Masai — Pakatan Harapan Johor

15 JANUARI — Pakatan Harapan Johor amat terkilan dengan sikap ditunjukkan oleh kerajaan Johor berhubung isu perobohan kuil berusia mencecah 80 tahun milik Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang terletak di atas sebuah tanah milik persendirian pada Khamis, 11 Januari lalu.

Kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penjelasannya pada hari ini sepertimana disiarkan http://ift.tt/2DeKm0i membuktikan beliau tidak cermat menangani kepentingan apatah lagi sensitiviti masyarakat berbilang kaum khususnya masyarakat India di Johor. 

Bahkan, beliau sebagai seorang ketua eksekutif negeri Johor telah meletakkan imej negeri ini pada sudut yang paling lemah dalam menyantuni sensitiviti serta sosiobudaya masyarakat pelbagai kaum dan agama seiring runtuhnya kuil Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang cukup ironi terletak dalam kawasan lingkaran kuasa politik beliau selaku Ketua Bahagian Umno dan Pengerusi BN Pasir Gudang.

Kenyataan Khaled bahawa kerajaan negeri sejak awal telah memperuntukkan sebidang tanah tertentu sebagai gantian kepada lokasi asal kuil tersebut tidak wajar menjadi alasan untuk menutup kegagalan beliau menangani sensitiviti rakyat. 

Khaled sebagai seorang ketua kerajaan negeri sepatutnya memahami signifikannya masyarakat India beragama Hindu dengan kuil sebagai rumah ibadat mereka. 

Melalui insiden ini, jelas sekali Khaled gagal menjadi seorang menteri besar yang berdiri untuk seluruh rakyat Johor pelbagai bangsa dan agama.

Kami berpendapat sikap Khaled yang seolah-olah berlepas tangan dalam hal ini adalah amat bahaya terhadap kerukunan bangsa Johor untuk jangka masa panjang. 

Sebagai seorang bergelar menteri besar, Khaled tidak boleh berasa 'cukup' sekadar menuding jari kepada pihak tuan tanah mahu pun kuil dengan beranggapan kerajaan negeri telah mengambil tindakan yang sepatutnya dengan menawarkan lokasi gantian. 

Beliau sepatutnya bertindak awal memainkan peranan yang lebih dan insiden perobohan kuil Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar di Masai yang membangkitkan kemarahan masyarakat India beragama Hindu ini tidak sepatutnya berlaku.

Pakatan Harapan Johor amat bimbang, insiden ini akan menjadi precedent bagi insiden-insiden yang lain di Johor akibat kurangnya sensitiviti serta lemahnya kepemimpinan seorang menteri besar seperti Khaled.

* Tulisan ini asalnya kenyataan media yang disediakan bersama pemimpin Pakatan Harapan Johor: Tan Sri Muhyiddin Yassin (pengerusi), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (PPBM), Aminolhuda Hassan (Amanah), Hassan Karim (PKR), Liew Chin Tong (DAP).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.



Sumber Tangani isu roboh kuil di Masai — Pakatan Harapan Johor

Post a Comment

Previous Post Next Post