Tun M, isu mengkafir tidak lagi relevan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS menyifatkan isu kafir-mengkafir yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai polemik kitar semula yang dibawa menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khairudin, berkata mereka sependapat dengan pendekatan pimpinan tertinggi PAS untuk memaafkan bekas Perdana Menteri itu.

"Isu itu sudah tidak relevan bagi kami, malah beliau sendiri sudah tidak relevan dalam politik.

"Dewan Pemuda PAS ingin melihat ke hadapan, jadi kita tidak mahu terus membincangkan kenyataan Tun Mahathir itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Nurul Islam Muhammed Yusoff; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Hishamudin Abdul Karim dan Bendahari Pemuda PAS, Mokhtar Suhaili.

Khairil Nizam berkata, Dr Mahathir wajar menghentikan budaya politik kebencian dan beralih mengamalkan politik matang.

Katanya, golongan muda makin muak dengan mainan politik, sebaliknya lebih berminat melihat isu mengenai taraf hidup, pengangguran dan perumahan.

"Perkara sebegini yang harus difokuskan bersama walaupun tidak duduk di bawah barisan pembangkang lagi," katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Memali, Pemuda PAS tetap dengan pendirian memberi keadilan kepada keluarga mangsa.



Sumber Tun M, isu mengkafir tidak lagi relevan

Post a Comment

Previous Post Next Post