Tanda tangan IBR bukan lakonan

KUALA LUMPUR: Seramai 770 pegawai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru dari seluruh negara menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata usaha itu selaras peranan JKKK sebagai barisan pertama kerajaan yang berurusan dengan rakyat.

Katanya, ia penting dalam mewujudkan imej bersih JKKK yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan 633 Kampung Baru di seluruh Semenanjung.

"Program ini (tanda tangan IBR) bukan lakonan semata-mata, tetapi komitmen dan janji kami bahawa jentera pentadbiran JKKK Kampung Baru akan menolak rasuah," katanya berucap pada majlis berkenaan di Wisma MCA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Pengerusi Biro Hal Ehwal Kampung Baru dan Kerajaan Tempatan MCA, Datuk Hoh Khai Mun serta Pengarah Bahagian Kampung Baru Jabatan Perdana Menteri, Wee Li King.

Sementara itu, Dzulkifli dalam ucaptamanya berkata, sebanyak 891 agensi merangkumi kementerian, universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sudah menandatangani IBR.

"Keahlian Sahabat Gerakan Anti Rasuah (GERAH) sudah mencapai hampir 150,000 anggota di seluruh negara yang bersedia berganding bahu dan menyalurkan maklumat kepada SPRM.

"Kesedaran masyarakat menolak rasuah akan terus menjadi revolusi, sekali gus menyaksikan Malaysia bebas daripada rasuah menjelang 2020.

"Bagaimanapun, ia bertitik tolak daripada semua dengan menjadikan prinsip 3J iaitu 'Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle' sentiasa tersemat di hati masing-masing," katanya.



Sumber Tanda tangan IBR bukan lakonan

Post a Comment

Previous Post Next Post