PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron sudah membuat saranan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya menyenaraikan roti Perancis atau lebih dikenali sebagai baguette sebagai 'warisan tidak ketara', setaraf dengan seni membuat piza Naples yang dikenali sebagai pizzaiuolo. Kedua-dua makanan ini sudah sebati dalam kehidupan harian penduduk Perancis dan Itali serta wajar diraikan di seluruh dunia dan saya setuju dengan penyenaraian ini.
Dalam kita meraikan pengiktirafan Eropah ini, saya tetap menyimpan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis melarang bahan api-bio sawit memasuki Kesatuan Eropah (EU) bermula 2021. Malah, undi Ahli Parlimen Eropah (MEP) ini menjejaskan lebih 650,000 petani kecil kelapa sawit di Malaysia.
Sudah tiba masanya untuk kita bertindak. Kita mempunyai pelbagai pilihan boleh digunakan untuk menangkis serangan terhadap sawit ini, termasuk langkah perdagangan dan bukan perdagangan.
Satu platform dipanggil Faces of Palm Oil sudah ditubuhkan untuk menggerakkan debat di media mengenai sekatan ini dan hasilnya, seramai 320,047 pekebun kecil dari seluruh Malaysia menandatangani petisyen membantah tindakan larangan bahan api-bio minyak sawit di Eropah. Pada 16 Januari lalu, seramai 2,000 pekebun kecil FELDA, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil (NASH), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) serta Persatuan Penanam Pokok Kelapa Sawit Sarawak (DOPPA) menyampaikan petisyen bantahan mereka terhadap tindakan mundur Eropah itu.
MPOC lancar bantahan
Dengan menggunakan isu penebangan hutan dan Perubahan Penggunaan Tanah Tidak Langsung (ILUC) sebagai alasan, resolusi Eropah ini sebenarnya lebih terarah untuk melindungi dan menyokong bahan api-bio berasaskan minyak bijian Eropah, terutama minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang berdepan saingan hebat bahan api-biosawit yang dihasilkan dengan lebih cekap dan memerlukan kawasan lebih kecil.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sudah melancarkan bantahan secara menyeluruh dan komprehensif bertajuk Building a Sustainable Future Together: Malaysian Palm Oil and European Consumption yang menjawab tuduhan dan serangan Suruhanjaya Eropah dan Parlimen Eropah terhadap minyak sawit. Laporan MPOC menggunakan data empirikal untuk mencabar prinsip dan data digunakan pihak berkenaan dalam melaksanakan larangan bahan api-bio minyak sawit.
Strategi MPOC membabitkan kerajaan di Eropah juga adalah kritikal dalam usaha mengubah rancangan larangan bahan api-bio sawit ini. Saya amat berbangga dengan usaha giat MPOC menangani isu ini.
Taktik pinggir minyak sawit
Ramai bersetuju larangan bahan api-bio minyak sawit melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerana ia satu diskriminasi. Minyak sawit akan diharamkan sebagai sebahagian daripada campuran biojisim bahan api-bio menjelang 2021. Bagaimanapun, minyak makan lain seperti bunga matahari, jagung, soya dan sesawi akan terus menjadi sebahagian campuran bahan api bio hingga 2030. Ini bukti jelas ketidakadilan terhadap kelapa sawit dan menentang prinsip perdagangan bebas dan adil.
Tambahan pula, keputusan taktikal dibuat pada 10 Januari lalu oleh penggubal undang-undang EU dari Parti Rakyat Eropah (EPP), Parti Sosialis dan Democrat (S&D) serta Perikatan Liberal dan Demokrat untuk Eropah (ALDE) bahawa minyak sawit tidak boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan bermula 2021 adalah satu lagi contoh taktik licik yang digunakan untuk meminggirkan sistem minyak sawit di Eropah secara sistematik.
Selain itu, percubaan sesetengah MEP mengenakan skim persijilan tunggal bagi semua minyak sawit yang masuk ke Kesatuan Eropah adalah satu lagi contoh layanan tidak adil mereka terhadap kelapa sawit. Minyak sawit adalah satu-satunya minyak makan yang terpaksa memerlukan fiat kemampanan oleh EU berbanding akses bebas kepada pasaran tanpa kawalan yang dinikmati minyak makan lain.
Delegasi EU ke Malaysia pernah memberi jaminan melalui kenyataan bertarikh 30 Oktober 2017 menyatakan resolusi antiminyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen Eropah (ENVI) pada 23 Oktober 2017 adalah tidak muktamad dan bukan sebahagian daripada inisiatif perundangan perlu disahkan negara anggota EU. Bagaimanapun, Jawatankuasa Industri, Penyelidikan dan Tenaga (ITRE) Parlimen Eropah pada 28 November 2017 mengesahkan pengharaman bahan api-bio minyak sawit di Eropah di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) dan berlarutan ke undian Strasbourg. Ancaman terhadap bahan api-bio minyak sawit adalah nyata dan sudah meningkat.
PEKEBUN kecil sawit membantah larangan dilaksana EU yang disifatkan sebagai penjajahan baharu dan aparteid tanaman.
Minyak sawit dipersijil pada 2019
Menjelang Disember 2019, industri minyak sawit akan disahkan sepenuhnya di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO). Sebanyak RM130 juta diperuntukkan untuk mengesahkan semua pekebun kecil yang amat memerlukan sokongan kewangan yang tidak akan diperoleh daripada skim persijilan lain. Selain itu, ladang, fasiliti perladangan dan pemprosesan juga akan menerima insentif di atas kos audit mereka. Ini kesungguhan dan keikhlasan nyata pihak kerajaan mengiktiraf industri ini. Pertanyaan utama harus dibangkitkan adalah apakah kefahaman MEP yang menyokong sistem pensijilan tunggal mengenai landskap serta kesulitan dihadapi pekebun kita.
Malaysia sudah memperuntukkan kawasan anggaran keluasan lima juta hingga 5.3 juta hektar untuk zon pemuliharaan Tunjang Hutan Tengah (CFS) dan Heart of Borneo (HoB), masing-masing di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Rakyat Malaysia amat menghargai harimau dan orang utan dan semua usaha diambil untuk memastikan jumlahnya terus meningkat di hutan kita bagi generasi masa depan. Inilah antara perkara dijadikan isu emosi oleh MEP bagi mengenakan sekatan perdagangan ini.
Pekebun kecil mengurus 40 peratus daripada 5.74 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit di Malaysia. Bagi kebanyakan mereka, hasil minyak sawit adalah sumber pendapatan tunggal. Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan sebahagian besarnya hasil daripada penanaman kelapa sawit. Malah, visi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terhadap pembangunan tanah dan pekerjaan bagi mereka yang tidak bertanah dan bekerja menjadi teras kepada FELDA yang menjadi model bagi Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG). Tindakan larangan EU ini akan memusnahkan sumber pendapatan pekebun kecil Malaysia. Sudah tentulah lebih 650,000 petani ini bersatu dalam membantah larangan yang disifatkan sebagai penjajahan baharu dan aparteid tanaman.
Kaji hubungan dagangan
Malaysia adalah negara terbuka dengan ekonomi teguh dan menjadi peneraju dalam perdagangan dengan banyak negara. Sebagai pengeksport produk utama dan barangan pembuatan, pelaburan dan penggunaan domestik kita yang berterusan bermakna import Malaysia daripada EU untuk industri sama ada dari segi penerbangan, kereta api dan peralatan automotif, barangan hasil makanan dan produk penjagaan diri. Serangan EU yang tidak adil dan tidak wajar ke atas minyak sawit Malaysia ini memungkinkan kita menilai semula hubungan perdagangan dua hala ini. Ketika negara di rantau lain bersaing untuk bekerjasama dengan Malaysia, tindakan EU ini mempertaruhkan hubungan ini.
Seperti juga baguette dan piza sebagai hadiah kebudayaan Eropah kepada dunia, minyak sawit Malaysia juga boleh menjadi hadiah emas kami kepada dunia. Kegunaannya selamat, sihat, mampan dan serba boleh, ia sebahagian daripada kehidupan kita sebagaimana baguette dan piza. Adalah amat menyedihkan EU memilih untuk menolaknya dan kita semua akan mengalami akibatnya.
Datuk Seri Mah Siew Keong ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Sumber Usaha tangani kesuraman minyak sawit