SUNGAI PETANI: Sekurang-kurangnya 10 cedera termasuk seorang anggota polis selepas bunga api yang dipasang ketika perarakan sempena Thaipusam meletup di kawasan pengunjung berhimpun, malam ini.
Ketika kejadian jam 8.40 malam, orang ramai menyaksikan perarakan pedati, sambil menunggu ketibaan tokong besar yang diarak keluar dari Kuil Sri Subramaniam Swami, di sini.
Seorang saksi di tempat kejadian berkata, bunga api yang dipasang untuk memeriahkan suasana, bagaimanapun menyebabkan pengunjung cemas apabila ada yang meletup di tanah.
"Hanya beberapa das bunga api meletup di udara, beberapa yang lain tidak naik dan meletup di bawah.
"Setakat yang diketahui lebih 10 orang dikatakan cedera termasuk anggota polis, namun rata-ratanya dikatakan hanya cedera ringan," katanya yang tidak mahu dikenali.
Sementara itu, sumber polis daerah Kuala Muda mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan sebelum kenyataan media mengenainya dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Difahamkan, mangsa yang cedera diberi rawatan di lokasi, selain ada yang dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Sementara itu, M Muruga, 46,yang cedera di tangan dalam kejadian itu berkata, empat bunga api meletup di udara manakala yang seterusnya di tanah.
"Letupan bunga api yang kelima mengejutkan orang ramai apabila ia berlaku di tanah berhampiran pengunjung, bukannya di atas (udara) seperti sepatutnya.
"Ketika itu saya berada jauh dari tempat pertunjukan bunga api, namun tiba-tiba terkejut melihat suasana panik dan orang ramai berlari menyelamatkan diri," katanya ditemui di HSAH.
Sementara itu, T Asokumar, 41, berkata ketika kejadian itu dia dan dua anak lelaki, A Sharvesh, 13, dan A Pretthic, 9, berada kira-kira 200 meter dari tempat pertunjukan.
"Semua pengunjung begitu teruja menantikan pertunjukan bunga api, namun masing-masing mengambil kedudukan yang jauh untuk keselamatan diri.
"Ketika letupan berlaku suasana bertukar menjadi berkabus dan saya sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang cedera di mata, ...tanpa saya sedari anak saya turut menjadi mangsa," katanya.
Dua anak Asokumar cedera di muka dan badan akibat terkena serpihan bunga api.
Katanya, ia adalah kali pertama pertunjukan bunga api diadakan ketika sambutan Thaipusam.
"Saya hairan kerana sebelum ini kami tidak pernah melihat pertunjukan bunga api pada sambutan Thaipusam, namun saya anggap mungkin mereka mahu meriahkan suasana sambutan kali ini," katanya.
Sumber 10 cedera bunga api meletup ketika perarakan Thaipusam