Ada hubungan sulit dengan bapa saudara, wanita parah dikelar ibu saudara

WANITA parah dikelar oleh ibu saudaranya kerana disyaki menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya dalam kejadian di rumah pekerja ladang Jeroco, Kinabatangan, semalam.

Kejadian 7.57 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang cedera di kepala, betis, lutut akibat ditikam dengan pisau berukuran 30 sentimeter dikejarkan ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh pihak pengurusan ladang berkenaan sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga ibu saudara mangsa dikatakan berang kerana mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

“Mangsa yang sedang berehat di hadapan rumahnya didatangi suspek dan menyerang dengan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga mangsa cedera di kepala, kesan kelar di jari, lutut dan betisnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu segera ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas sebilah pisau yang digunakan ketika kejadian.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk menerima rawatan lanjut.

“Suspek berusia 33 tahun dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kinabatangan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam.

Mangsa adalah janda dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Ada hubungan sulit dengan bapa saudara, wanita parah dikelar ibu saudara

Post a Comment

Previous Post Next Post