TEBING BARAT: Penduduk Palestin meluahkan kemarahan susulan laporan Amerika Syarikat akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dalam masa beberapa bulan lagi.
Palestin menuntut bahagian timur bandar raya itu sebagai ibu negaranya, dan tindakan Presiden Donald Trump turut membangkitkan kemarahan pemimpin politik dan agama Arab seluruh rantau itu.
"Ini langkah yang tidak boleh diterima. Sebarang tindakan sehala tidak memberikan hak kepada sesiapa dan menjadi halangan kepada usaha mewujudkan keamanan di rantau ini," kata jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah.
Abbas menolak usaha damai Asia Barat diketuai AS sebagai 'mustahil' sejak keputusan Trump 6 Disember lalu yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Abu Rdainah berkata, 'satu-satunya cara mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan' adalah cadangan Abbas yang disebut dalam ucapannya pada 20 Februari lalu di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, iaitu perlu ada sidang antarabangsa mengadakan semula proses damai dengan Israel, termasuk mekanisme pelbagai hala untuk memantaunya.
Sementara itu di Gaza, pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata: "Memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis adalah perisytiharan perang terhadap negara Arab dan Islam, dan pentadbiran AS perlu menimbang semula langkah itu."
Pertempuran meletus di Gaza dan Tebing Barat awal semalam, dalam bantahan mingguan terhadap pendirian Trump mengenai Baitulmaqdis. - Reuters
Sumber AS isytihar perang dengan negara Islam dan Arab - Hamas