SELEPAS berehat hampir dua minggu, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi minggu ini dengan perlawanan tumpuan sudah pasti terarah kepada aksi Manchester United dan penyandang juara, Chelsea di Old Trafford.
Ada yang kata, ia aksi merah lawan biru. Jose Mourinho lawan Antonio Conte. Romelu Lukaku lawan Alvaro Morata. Eden Hazard lawan Alexis Sanchez dan Paul Pogba lawan N'Golo Kante.
Apa juga label diberi, ia sememangnya perlawanan dinantikan ramai terutama di kalangan penyokong tegar kedua-dua kelab. Tentunya hebat dan memercikan suasana sengit.
Kunjungan The Blues ke gelanggang keramat Red Devils pada jam 10.05 malam waktu Malaysia itu jelas dianggap menjadi perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan gergasi EPL ini.
Ini kerana selepas prestasi merudum secara dramatik dalam perlawanan lalu, kedudukan dalam kelompok empat terbaik liga kini tergugat sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan terhimpit.
Baik United atau Chelsea, mereka tiada pilihan lagi kecuali memenangi pertemuan itu. Ketika ini, dua pesaing terdekat mereka iaitu Liverpool dan Tottenham Hotspur hanya menunggu masa untuk memintas.
The Blues kini di tangga keempat liga, ketinggalan tiga mata di belakang Red Devils yang berada di posisi kedua. Liverpool pula ketiga, dua mata memisahkannya dengan United manakala Spurs, keempat hanya satu mata di belakang Chelsea.
Barisan Jurgen Klopp mampu merampas tempat anak buah Mourinho andai menewaskan West Ham malam ini, sementara menunggu aksi United-Chelsea kira-kira 24 jam selepas itu.
Selain persaingan 'merah dan biru', aksi ini juga menarik perhatian kerana pertelagahan antara Mourinho dan Conte. Kedua-dua pembimbing ini tidak sebulu selepas Mourinho memberikan komen sinis mengenai sikap Conte di padang.
Pembimbing The Blues dalam komen balasnya kemudian mendakwa jurulatih Portugal itu terbabit dengan skandal menjual perlawanan di Itali, yang kemudian didapati tidak benar.
Mourinho sebelum ini adalah juga bekas jurulatih Chelsea. Empat rekod pertemuan dua jurulatih berkenaan setakat ini menyebelahi Conte apabila menang tiga daripadanya.
Isu Lukaku dan Morata turut menghangatkan pertembungan kedua-dua pasukan. Antara pemain termahal dalam EPL, kedua-duanya sebelum ini dikaitkan berpindah ke Chelsea dan United, sebelum akhirnya Lukaku menghala Red Devils dan Morata ke Stamford Bridge dalam persaingan sengit pada awal musim.
Peminat kedua-dua pasukan juga diheret menyaksikan perlawanan ini bagi melihat dua ayam tambatan mereka beraksi - Sanchez dan Hazard. Siapakah yang bakal mendominasi serangan malam esok?
Bagi pertembungan dua perancang terbaik liga - Pogba dan Kante, ia dijangka berlaku di pertengahan aksi. Pogba dijangka tersisih sebagai simpanan seperti ketika pertemuan dengan Sevilla pada pertengahan minggu dalam aksi Liga Juara-Juara.
Apapun pada pertemuan pertama 5 November lalu di Stamford Bridge, Chelsea menang 1-0. Dan The Blues pasti sudah mensasarkan untuk mencipta kemenangan berganda bagi kali keempat selepas musim 2009/2010, 2004/2005 dan 1993/1994.
Dalam pada itu, pendahulu liga, Manchester City tidak akan beraksi minggu ini dan sebaliknya akan berentap menentang Arsenal di laman lawannya itu pada awal pagi Jumaat depan.
Spurs pula akan berkunjung ke laman Crystal Palace dan seandainya menang bakal memintas Chelsea di tangga keempat untuk sekurang-kurangnya selama dua jam. Selamat menonton.
Ramalan Minggu ke-28
Leicester City 2 Stoke City 1
Bournemouth 1 Newcastle 3
Brighton 0 Swansea 2
Burnley 1 Southampton 1
Liverpool 3 West Ham 1
West Brom 1 Huddersfield 1
Watford 1 Everton 2
Crystal Palace 1 Tottenham 3
Manchester United 1 Chelsea 1
* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP
Sumber Conte mampu bikin Mourinho gigit jari lagi