Bekas guru kena penjara 5 tahun miliki kertas UPSR

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang bekas guru kerana memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 secara tidak sah, empat tahun lalu.

Hakim G Ramesh menjatuhkan hukuman itu terhadap L Subbarau @ Kamalanathan, 38, yang sebelum ini bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Benar, Nilai.

Bagaimanapun, Ramesh membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara tertuduh memohon rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Subbarau didakwa atas lima pertuduhan memiliki soalan UPSR 2014 bagi mata pelajaran Matematik 035/1 dan Matematik 015/1, Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037 serta Sains 081 melalui seunit telefon pintar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 8 September hingga 16 September 2014, di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, Fasa 4, Seremban di sini.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam M Kula Segaran serta Omar Kutty.

Terdahulu, Kula Segaran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan berikutan tertuduh memberi kerjasama, dan sudah tidak bekerja sebagai guru.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin meminta tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan serius yang turut menyebabkan murid terpaksa menduduki sekali lagi UPSR.

Ramesh kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan berkuat kuasa hari ini, namun sementara menunggu rayuan, tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan mengekalkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Pada 16 April 2015, Subbarau bersama seorang lagi guru, P Murugan, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki kertas itu selepas Mahkamah Sesyen berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah Tinggi pada 5 September 2016, mengekalkan pembebasan Subbarau.

Bagaimanapun, pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan dan meminda keputusan itu.

Pada 6 Oktober 2017, tertuduh gagal dalam usahanya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan itu.



Sumber Bekas guru kena penjara 5 tahun miliki kertas UPSR

Post a Comment

Previous Post Next Post