KOTA KINABALU: Lima tan durian pelbagai jenis untuk dihabiskan penggemar raja buah sekitar daerah ini.
Pelbagai jenis raja buah itu disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena Program Jimat Belanja Dapur sehingga jam 6 petang ini di pekarangan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di sini, hari ini.
Dengan membayar RM30, penggemar durian diberi masa 45 minit untuk menikmati raja buah sepuas-puasnya.
Antara durian disediakan ialah musang king, kunyit, XO, D24 serta durian kampung yang dibawa segar oleh usahawan tempatan.
Penggemar durian, Saludin Abd Salam, 65, berkata, program terbabit memang menarik dan sangat dinantikannya kerana berpeluang makan pelbagai durian sepuasnya.
"Seawal 8 pagi saya sudah sampai di sini dan tidak sabar untuk menikmati durian dan jika ada lagi program sedemikian saya pasti tidak melepaskan peluang," katanya.
Saludin berkata, dia sanggup menjelajah ke merata tempat termasuk ke Lawas di Sarawak selain Ranau semata-mata untuk menikmati durian.
"Saya memang 'hantu durian' dan boleh menghabiskan lebih 20 biji durian dalam suatu masa," katanya yang kini bergiat aktif dengan Kumpulan Permotoran Sabah selepas bersara dalam penjawat awam.
Sementara itu, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid, berkata program terbabit memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barang keperluan harian dengan kadar lebih rendah.
"Usaha ini diambil bagi mengurangkan beban perbelanjaan keluarga melalui penawaran diskaun antara lima dan 20 peratus yang membabitkan 27 barangan keperluan terpilih seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan," katanya.
Beliau berkata, program sedemikian membolehkan masyarakat menikmati harga barang yang jauh lebih berpatutan dari harga pasaran melalui 30 gerai yang dibuka oleh FAMA dan usahawan tempatan.
"Kita menyasarkan lebih 5,000 pengunjung membanjiri pekarangan kompleks KKMM ini dan kita juga berharap memperoleh pendapatan lebih RM200,000 melalui 30 gerai yang ada," katanya.
Katanya, pengunjung juga berpeluang membeli minyak masak paket sekilogram bersubsidi dengan pembelian dua paket setiap individu, manakala buah seperti manggis dan rambutan masing-masing dijual dengan harga RM20 dan RM10 sebakul.
Sumber 5 tan bekalan untuk 'hantu durian'