C4: Kerajaan Kelantan kecewakan Orang Asli

NGO itu berkata pihaknya menyokong sekatan jalan diletakkan oleh Orang Asli di beberapa bahagian di Gua Musang.

Cynthia-Gabriel--orang-asli-2KUALA LUMPUR: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mahu pembalakan di Gua Musang dihentikan serta merta dan mahu kerajaan Kelantan dan persekutuan membincangkan isu itu dengan masyarakat Orang Asli di sana.

C4 berharap ketiga-tiga pihak akan mencapai kata sepakat berkenaan masalah pembalakan yang mengganggu kehidupan Orang Asli sekian lama.

Badan bukan kerajaan itu berkata pihaknya menyokong sekatan yang didirikan Orang Asli di beberapa bahagian di Gua Musang.

“Kami juga akan menyumbang 4 set generator kepada masyarakat Orang Asli yang menjaga sekatan itu dan pihak kami akan melawat mereka dalam beberapa hari akan datang untuk menunjukkan sokongan,” kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dan Penyelaras C4 Bahagian Utara Sudhagaran Stanley dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, seramai 800 Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang lori keluar masuk di kawasan itu dan membantah aktiviti pembalakan dan perlombongan yang meluas.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli di Kelantan, Mustafa Along berkata mereka tiada pilihan lain kecuali mendirikan sekatan.

“Kami bergantung hidup pada hutan untuk kehidupan kami. Tetapi kehidupan kami terjejas oleh kerana pembalakan meluas oleh syarikat-syarikat swasta.

“Kami sangat bergantung pada hutan untuk upacara kami tetapi kerana pembalakan meluas, kawasan hutan semakin mengecil,” katanya kepada FMT.

C4 hari ini menyambut baik seruan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa pihak terlibat mencari penyelesaian jangka masa panjang kepada masalah itu.

“Sepatutnya sebelum ini lagi agensi persekutuan dan negeri mengkaji perkara itu secara serius. Perbincangan oleh semua pihak harus berdasarkan kepada hak Orang Asli ke atas tanah mereka dan pemeliharaan warisan dan budaya mereka.”

Cynthia dan Sudhagaran berkata Orang Asli adalah “harta peradaban kita, mengingatkan kita cara nenek moyang kita hidup dan berjuang di hutan”.

Mereka berkata, tetapi hari ini kewujudan can cara hidup Orang Asli terancam, terutamanya di Kelantan, akibat “jalan pintas kerajaan negeri untuk peroleh hasil, dan status mereka di sisi undang-undang yang tidak jelas”.

“Kerajaan Kelantan langsung tidak menghiraukan hak masyarakat Orang Asli yang hidup di hutan dan kerajaan negeri bertahun lama melayan mereka dengan tidak baik. Hak mereka tidak dihormati, tanah mereka dirompak untuk keuntungan, budaya dan warisan mereka dirosakkan. Walaupun mereka masyarakat asal di Malaysia, mereka dilayan seperti orang asing di tanah sendiri.”

C4 sebelum ini secara berterusan menyuarakan kebimbangan berkenaan kegiatan pembalakan d Kelantan. Pada 2015, C4 mengadakan misi mencari fakta bagi menyiasat banjir besar yang berlaku di negeri itu pada tahun itu dan menyebabkan kerugian beratus juta dan mengorbankan 21 nyawa. Laporan mereka menunjukkan bukti pembalakan besar-besaran menyumbang kepada banjir besar itu.

Antara cadangan dalam laporan itu adalah menambah baik pengurusan hutan, memetakan dan mewartakan tanah Orang Asli dan mengamalkan ketelusan secara sepenuhnya berkenaan konsesi yang diberikan dan syarikat pembalakan yang diberi lesen untuk kegiatan itu.

“Orang ramai tidak tahu menahu tentang bagaimana konsesi ini diberikan, apakah proses permohonannya, berapa banyakkah negeri peroleh daripada konsesi ini dan apakah kriteria proses pemilihan. Ini hanya menyumbang kepada kemungkinan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata mereka.

Pada 2016, C4 bertemu pelbagai pegawai tinggi termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan Moh Samsudin Yusof dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkenaan perkara ini.

“Tiga tahun berlalu, ia sangat mengecewakan melihat masyarakat Orang Asli di Kelantan masih memperjuangkan tanah mereka daripada dicerobohi.

“Kebergantungan kerajaan negeri kepada hasil konsesi dan pembalakan menjadi ancaman besar kepada pembangunan mapan dan kehidupan masyarakat Orang Asli dan hutan mereka. Mereka seolah-olah ketandusan idea memperoleh hasil dari sumber lain dan ini contoh tadbir urus lemah di negeri itu. Ini harus berubah serta merta jika mereka berhasrat memperoleh mandat rakyat Kelantan sekali lagi pada 2018.”

C4 menyeru kerajaan Kelantan membenarkan maklumat berkenaan kawasan diberikan kepada syarikat swasta dilihat orang ramai, dan mengambil tindakan penguatkuasaan ketat terhadap syarikat yang mencerobohi tanah lain.

Mekanisme di mana Orang Asli boleh membantah tanah diberikan kepada syarikat swasta juga harus dilaksanakan, tambah mereka.

Menurut mereka lagi, kerajaan Kelanan harus memastikan semua pihak menghormati keputusan mahkamah melarang pembalak memasuki Pos Balar.

“Sejak mahkamah memutuskan perkara itu, kami sedar pembalak kini mencerobohi kawasan di sekeliling Pos Balar, seperti di Kuala Wok. Jika kerajaan negeri yang membenarkan pembalak memasuki kawasan tersebut, pihaknya bersubahat dalam memintas perintah mahkamah.”

Orang Asli dirikan sekatan halang pembalakan Gua Musang

50 Orang Asli Gua Musang mahu sekatan laluan pembalakan diroboh


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber C4: Kerajaan Kelantan kecewakan Orang Asli

Post a Comment

Previous Post Next Post