Duta: Pampasan, tunggakan gaji kepada waris Adelina sudah dibayar

Bayaran RM63,900 dibuat pada 13 Februari lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang.

adelina-lisao43

JAKARTA: Pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900 sudah dibayar kepada keluarga Adelina Lisao, pembantu rumah warga Indonesia yang mati didakwa akibat didera.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata bayaran meliputi tunggakan gaji dari Januari 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluarganya termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.

“Bayaran itu telah dibuat pada 13 Februari lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang,” kata Zahrain kepada pemberita hari ini.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga wanita itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama 3 tahun yang tidak dibayar majikannya.

“Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia,” kata Zahrain.

Pada 10 Februari lepas, Adelina, 28, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala, tangan dan kaki akibat didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Adelina meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Bukit Mertajam.

Jenazahnya dihantar dan selamat dikebumikan di provinsi Nusa Tenggara Timur pada 19 Februari.

Bercakap kepada media yang dihadiri ramai wartawan Indonesi, Zahrain berkata Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati bersalah.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Duta: Pampasan, tunggakan gaji kepada waris Adelina sudah dibayar

Post a Comment

Previous Post Next Post