Cipta pembaris pola mudahkan jahit pakaian

KUALA LUMPUR: Pola dan pakaian bagaikan irama dengan lagu sekali gus menjadikan sesuatu rekaan pakaian sempurna dan selesa disarung.

Menyedari kepentingan pola, mendorang Pengasas D'Athirah Enterprise, Nur'Atirah Razali, 35 mencipta pembaris khusus bagi memudahkan melukis pola dan pakaian, yang dikenali sebagai D'Athirah Design Magic Ruler.

Nur'Atirah berkata, berbanding pola kertas yang biasa digunakan dalam jahitan, rekaan menggunakan pembaris rekaannya itu membolehkan individu melukis pola dengan cara mudah dan menjimatkan masa.

"Lebih 50 peratus masa dapat dijimatkan daripada melukis pola menggunakan cara tradisional, iaitu menggunakan pembaris panjang dan dilukis atas kertas minyak," katanya kepada BH.

Menerusi cara tradisional, pola dilukis menggunakan pembaris panjang dan akan membuat pengiraan formula.

Menerusi pembaris ciptaan Nur'Atirah kerja berkenaan lebih mudah kerana ia dilengkapi formula dan tidak perlu membuat pengiraan.

Inovasi ditampilkan melayakkan produk berkenaan memenangi tempat pertama Cabaran Inovasi Inklusif Zon Tengah 2016 dan Finalis Anugerah Inovasi Negara 2017 bagi kategori Produk Pembaris.

Produk yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu mendapat sambutan dalam kalangan tukang jahit. Lebih 500 keping sudah dijual malah turut dieksport ke luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Wanita kelahiran Sarawak ini berkata, idea mencipta pembaris itu tercetus apabila beliau mendapati ramai dalam kalangan anak muridnya yang menghadapi kesukaran melukis dan mengingati formula.

"Pembaris tradisional yang digunakan sebelum ini bukan saja panjang, tetapi kadangkala terlalu sukar dibawa ke mana-mana.

D'Athirah Design Magic Ruler memudahkan proses melukis pola. - Foto Aziah Azmee

"Pembaris ini lebih pendek dan mudah dilaras kerana ia memiliki bentuk yang direka khusus dalam pembuatan pola pakaian. Antaranya bahagian melengkung dan sisi jahitan rumit pada pakaian," katanya.

Mengulas mengenai produk tiruan, Nur'Athirah berkata, ia dilengkapi lesen perlindungan hak cipta daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Justeru, beliau menyediakan lebih 20 jenis pembaris dalam pelbagai pilihan, seperti untuk melukis pola baju kurung, kebaya, baju Melayu, kemeja lelaki, seluar dan kain sarung.

Menggunakan bahan berkualiti dan tidak mudah rosak, setiap pembelian dilengkapi video manual sebagai rujukan.

Justeru katanya, kelebihan dimiliki pembaris berkenaan menyebabkan orang ramai tidak perlu lagi membelanjakan wang yang banyak untuk mengikuti kelas jahitan yang pada kebiasaannya membabitkan kos tinggi.

"Wanita khususnya suri rumah sepenuh masa, pelajar fesyen dan jahitan serta tukang jahit kecil-kecilan disaran memilikinya kerana ia bermanfaat dalam meningkatkan pengeluaran produk pakaian," katanya.



Sumber Cipta pembaris pola mudahkan jahit pakaian

Post a Comment

Previous Post Next Post