KUANTAN, 24 Feb — Pengagihan fasa pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun ini bermula Isnin ini, kata ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Beliau berkata pengagihan BR1M pada tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam tiga fasa.
Katanya, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melancarkan pengagihan fasa pertama BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan esok.
“Penerima BR1M boleh menyemak akaun bank mereka pada Isnin. Mereka layak menerima RM1,200, kita akan mengagihkan RM400 terlebih dahulu dan bakinya dimasukkan pada fasa kedua dan ketiga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Keusahawanan Bumiputera (BAHTERA) 2018 edisi Timur di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Irwan Serigar berkata dakwaan pembangkang bahawa kerajaan bakal bankrap sebagai tidak berasas kerana perkembangan ekonomi negara kekal kompetatif.
“Ekonomi negara berkembang pada kadar 5.9 peratus pada tahun lalu dan semua sektor antaranya perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan berkembang antara 6 hingga 6.7 peratus. Defisit fiskal juga menunjukkan penurunan sehingga 3.0 peratus dan ini bukti pengurusan ekonomi yang cukup baik oleh kerajaan,” katanya. — Bernama
Sumber Fasa pertama agihan BR1M RM6.3 bilion bermula Isnin