KANGAR, 24 Feb — Tindakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad meminta derma dan sumbangan orang ramai bagi membantu parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya sebagai satu lakonan sahaja.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata PPBM sebenarnya tidak mempunyai masalah kewangan kerana yakin ada tokoh-tokoh perniagaan semasa zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu akan tampil dan sanggup menaja parti itu pada PRU14 kali ini.
“Saya tahu siapa ‘Uncle’ yang selalu menaja sambutan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir dengan kos RM1 juta hingga RM2 juta hampir saban tahun kerana masa berkuasa dulu dia (Dr Mahathir) beri mereka bermacam peluang sehingga menjadi jutawan.
“Jika Dr Mahathir hendak bertanding (PRU) kali ini, saya yakin mereka akan sokong dia,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Agronita 2018 peringkat negeri oleh menteri besar, Datuk Seri Azlan Man di sini, hari ini.
Justeru, sebagai ‘orang lama’ dalam Umno, katanya, beliau mengetahui ‘drama’ dan ‘temberang’ bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.
Tajuddin, yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, berkata Dr Mahathir boleh menipu rakyat dengan ‘lakonannya’ tetapi bukan dengan orang-orang lama dalam Umno.
“Saya amat kasihan dengan rakyat yang mudah percayakan beliau,” katanya dan menambah Dr Mahathir juga boleh bertanding atas tiket DAP pada PRU14 tetapi beliau tidak akan mendapat sokongan orang Melayu.
Menyentuh soal bijirin ‘quinoa’ yang menjadi makanan diet perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya, pembangkang tiada modal sehingga makanan pun dijadikan modal politik mereka.
“… apa masalahnya kalau dia (Najib) hendak makan. Sesiapa pun kalau mampu boleh makan jika ia baik untuk kesihatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata pembukaan empat kawasan jelapang baharu iaitu di Kota Belud (Sabah), Batang Lupar (Sarawak), Rompin dan Pekan (Pahang) yang meliputi 19,000 hektar kawasan dijangka dapat memenuhi keperluan beras dalam negara menjelang 2020.
Katanya, kekurangan ketara ialah daging kerana 80 peratus masih bergantung kepada import yang bernilai kira-kira RM2 bilion setahun manakala import produk tenusu pula hampir RM4 bilion setahun. — Bernama
Sumber ‘Uncle’ jutawan bantu PPBM, Dr M berlakon minta derma