United yang turun dengan barisan terkuat mereka, termasuk pemain baharu harapan peminat, Alexis Sanchez tergamam dengan gol Christian Eriksen dalam tempoh sebelas saat selepas sepak mula.
Ia merupakan gol ketiga terpantas dalam Liga Perdana Inggeris.
Bagi pengurus United, Jose Mourinho, gol awal tersebut memainkan pengaruh yang besar dalam perlawanan itu.
“Ia adalah satu persembahan yang bermula dengan gol yang tidak masuk akal. Gol selepas beberapa saat permaianan bermula mempunyai pengaruh besar dalam permainan kerana Tottenham boleh bermain dengan cara mereka suka bermain. Gol kedua pula terus mematikan permainan,” kata Mourinho.
Gol kedua Spurs adalah hasil jaringan sendiri pertahanan United, Phil Jones pada minit ke-28 apabila tertampan hantaran lintang Kieran Trippier ke dalam gawang sendiri.Ia merupakan gol ketiga yang diperoleh United menerusi jaringan pemain lawan musim ini.
Bagi pengurus Spurs, Mauricio Pochettino, ia satu malam yang indah terutama sekali melakar kemenangan di hadapan pemain baharu yang dibeli kelab itu, Lucas Moura.
Pemain sayap itu hadir ke stadium dua jam selepas menandatangi perjanjian sehingga 2023 bersama Spurs dengan nilai perpindahan £23 juta dari kelab Perancis Paris St-Germain.
“Matlamat kami adalah untuk memberi tumpuan dari awal permainan. Tiga mata untuk kami meletakkan kami dalam kedudukan yang sangat baik untuk bertarung merebut kelompok empat terbaik liga. Saya pasti Lucas Moura juga terhibur dengan perlawanan malam ini,” kata Pochettino.
Sementara itu, Sanchez pula tidak menyerlah dalam perlawanan sulungnya untuk United dalam liga Inggeris dan gagal melepaskan sebarang cubaan bahaya ke arah gawang Spurs.
Spurs kini berada hanya dua mata dibelakang empat pasukan teratas liga dengan 48 mata, dibelakang Chelsea dan Liverpool.
Perlawanan Lain
Perlawanan lain yang berlangsung awal pagi tadi menyaksikan Chelsea dikejutkan AFC Bournemouth 3-0 di tempat sendiri.
Bournemouth memperoleh tiga gol di Stamford Bridge dalam babak kedua menerusi Callum Wilson (51’), Junior Stanislas (64’) dan Nathan Ake (67’).
Pendahulu liga, Manchester City pula melebarkan jurang pendahuluan dengan 15 mata selepas menewaskan West Bromwich Albion 3-0 hasil jaringan Fernandinho (19’), Kevin de Bruyne (68’) dan Sergio Aguero (89’).
Everton berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Leicester City, Newcastle seri 1-1 dengan Burnley, Southampton seri 1-1 dengan Brighton dan Stoke City seri 0-0 dengan Watford.
Sumber Gol yang tak masuk akal - Mourinho