KUALA LUMPUR: Kemarau jaringan yang dilalui dalam tiga perlawanan tidak memberi tekanan ke atas penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula kerana dia yakin ia akan dapat diatasi sebaik saja gol pertama hadir.
Malah, penjaring terbanyak Liga Perdana 2017 itu memiliki keyakinan tinggi mampu mengulangi kecemerlangan musim lalu sekalipun berdepan lawan lebih mencabar dalam saingan Liga Super musim ini.
GUILHERME de Paula (kiri) yakin mampu ulangi pencapaian tahun lalu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana. - Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
"Memang menjadi tanggungjawab seorang penyerang untuk menjaringkan gol. Saya pun begitu, sentiasa dahagakan jaringan, kalau boleh mahu melakukannya dalam setiap perlawanan.
"Tapi, apabila gagal menghasilkan gol setakat ini ia bukan masalah besar malah tidak sedikit pun memberi tekanan. Selagi masih memberi sumbangan kepada pasukan, saya tidak perlu risau apa-apa.
"Saya hanya perlu bersabar menunggu gol pertama kerana yakin selepas ia diperoleh, gol lain akan menyusul. Saya percaya dengan kemampuan sendiri," kata penyerang import dari Brazil itu.
Musim lalu Guilherme menjadi watak utama Kuala Lumpur apabila 27 jaringannya membantu The Hawks menjulang kejuaraan Liga Perdana sekali gus layak ke Liga Super musim ini.
Namun, kegagalan barisan depan yang diketuai Guilherme menterjemahkan peluang diperoleh dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini menyaksikan pasukan warga kota itu sekadar menjaringkan satu gol.
Skuad bimbingan Fabio Maciel itu kalah 0-2 kepada Selangor dan Negeri Sembilan tetapi mengejutkan Johor Darul Ta'zim 1-0 hasil jaringan Paulo Josue.
Sementara itu Maciel masih menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Guilherme yang disifatkan hanya menunggu masa untuk memecah kebuntuan.
"Dalam tiga perlawanan itu Guilherme berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan gol tapi ternyata tidak berhasil. Ia tidak menjadi masalah kepada saya kerana dia tetap memainkan peranan besar dalam kesemua perlawanan setakat ini.
"Sekarang dia bekerja keras dalam latihan bagi menajamkan senjatanya. Saya berharap dia akan menjaringkan gol apabila kami bertemu PKNP FC pada 25 Februari depan kerana jaringan sulung itu sangat penting untuk mengembalikan sentuhannya," kata Maciel.
Sumber Guilherme tak bimbang penyudah tumpul