NYON: Juara Eropah tujuh kali, AC Milan dijadual bertemu kelab tunggal dari Inggeris di kancah Liga Europa, Arsenal di peringkat 16 terakhir Liga Europa ketika sesi undian, semalam.
Arsenal tewas 2-1 kepada kelab kerdil dari Sweden, Ostersunds pada aksi timbal balik di Emirates, awal pagi semalam yang lantas mencetus cemuhan daripada peminatnya sendiri.
Mereka begitupun mara dengan keputusan agregat 4-2 susulan kemenangan besar yang dilakar di tempat lawan.
Gergasi Sepanyol, Atletico Madrid yang diketuai penyerang sensasi Perancis, Antoine Griezmann akan bertemu kelab Russia, Lokomotiv Moscow.
Athletic Bilbao yang mara selepas menyingkirkan satu lagi kelab Russia, Spartak Moscow dalam perlawanan yang dicemari keganasan diundi bertemu kelab Perancis yang juga juara Eropah 1993 Marseille pada perlawanan yang dijadualkan pada 9 dan 16 Mac depan.
KEPUTUSAN undian yang dipamerkan di papan elektronik. -Foto EPA
Satu lagi kelab Perancis, Lyon, perlu mengatasi satu lagi kelab Russia, CSKA Moscow untuk mengekalkan harapan mereka beraksi di pentas final di laman sendiri pada 17 Mei depan.
Lyon sebelum itu meraih kemenangan selesa 4-1 secara agregat ke atas Villarreal di peringkat 32 terakhir.
RB Leipzig, yang terpaksa berakhir di kejohanan kedua Eropah itu selepas tersingkir dalam kempen Liga Juara-Juara akan bertemu satu lagi kelab Russia, Zenit Saint-Petersburg yang menjuarai Liga Europa pada 2008.
Kelab Jerman, Borussia Dortmund dilihat memiliki peluang paling cerah untuk mara apabila diundi menentang kelab kerdil Republik Czech, Plzen. - AFP
Undian peringkat 16 terakhir Liga Europa
Lazio mln Dynamo Kiev
RB Leipzig mln Zenit St Petersburg
Atletico Madrid mln Lokomotiv Moscow
CSKA Moscow mln Olympique Lyonnais
Olympique de Marseille mln Athletic Bilbao
Sporting Lisbon mln Viktoria Plzen
Borussia Dortmund mln FC Salzburg
AC Milan mln Arsenal
Sumber Milan layan Arsenal peringkat 16 terakhir Liga Europa