Norman longlai di bahu anak

KUALA LUMPUR: "Selama ini, sayalah yang pujuk dia... Kali ini, saya longlai di bahunya."

Begitulah emosi dikongsi pelakon, Norman Hakim saat melepaskan anak sulung kesayangan, Mohamed Danish Hakim, 15, berangkat ke Turki bagi melanjutkan pengajian dalam bidang hafazan, semalam.

Video dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang itu antara lain memaparkan Norman menangis tanpa henti di bahu Danish hingga pantas meraih perhatian netizen.

Ramai pengikut Instagram Norman mengucapkan tahniah dan mendoakan perjalanan dan pengajian Danish lancar.

Norman mengaku emosinya tidak menentu sejak akhir-akhir ini mengenangkan Danish akan berangkat ke luar negara.

"Daripada saat Danish masuk asrama memulakan kelas hafazan, tiap kali dihantar pulang dan apabila dia bersedih, bahu sayalah menjadi tempat dia bersandar meluahkan rasa dan air mata.

"Tetapi hari ini (semalam) dalam sejarah, semuanya jadi terbalik. Saya longlai di bahu dia... 'Bertan-tan' air mata jatuh sampai basah bajunya.

"Emosi saya tidak tentu arah sejak seminggu lalu," katanya meluahkan perasaan dalam laman sosial itu.

Sebelum ini, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 41, memberitahu BH Online, Danish adalah antara 10 pelajar terpilih melanjutkan pengajian hafazan di sebuah institusi pengajian Islam, Mekke Kuran Kursu di Isparta, Turki.

Norman berkata, dia sedar anaknya lebih kuat berbanding dirinya. Malah, Danish dilihat sudah bersedia berdepan dengan kehidupan mendatang.

"Baru saya sedar, Danish lebih kuat daripada saya. Anak ini sudah bersedia untuk 'menakluk' akhirat di dunia yang sementara.

"Fizikal mungkin sama, tetapi jiwa dan mentalnya lebih kental dan berganda. Ini kerana kelebihannya, AL-Quran yang sudah ada dalam dada. Dia tidak takut apa-apa kecuali yang Maha Esa," katanya.

Selain Danish, Norman turut dianugerahkan dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi,iaitu Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Bersama isterinya sekarang, Memey Suhaiza, Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 5 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.



Sumber Norman longlai di bahu anak

Post a Comment

Previous Post Next Post