Victoria, juga dikenali sebagai Posh Spice, sebelum ini didakwa menjadi punca rancangan reunion kumpulan yang mencipta fenomena pada tahun 90an itu, tidak dapat direalisasikan.
Namun dalam laporan portal The Sun, pengasas rancangan Pop Idol, Simon Fuller memaklumkan, Victoria telah pun memberikan persetujuan untuk menyertai reunion yang dirancang akan menjadi selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Bagaimanapun, Fuller memberitahu, persetujuan Victoria itu membabitkan beberapa syarat, antaranya dia tidak mahu menyanyi."Victoria tidak mahu menyumbangkan suaranya dalam nyanyian solo, dan saya beritahunya, tidak mengapa. Jika dia tidak mahu menyanyi, dia tidak perlu menyanyi.
"Yang penting, akhirnya reunion ini dapat dilaksanakan," kata Fuller kepada portal berkenaan.
Portal itu juga memetik beberapa sumber memberitahu, Victoria memberi persetujuan itu kerana dia memerlukan wang untuk menyelamatkan perniagaannya.
Tahun lalu, label fesyen Victoria Beckham dilaporkan mengalami kerugian 8.4 juta pound (RM46 juta), biarpun selepas pembabitan suaminya dalam kempen jenama itu.
Untuk projek reunion ini, lima anggota Spice Girls iaitu Emma Bunton, Geri Horner, Melanie Brown, Melanie Chisolm dan Victoria Beckham, akan dibayar 10 juta pound (RM55 juta) setiap seorang.
Spice Girls yang pernah menerbitkan tiga buah album dengan jualan melebihi 80 juta unit di seluruh dunia, kali terakhir muncul bersama pada tahun 2012.
Sumber Perniagaan 'nak karam' baru Victoria Beckham setuju 'reunion' Spice Girls