KUALA LUMPUR, 2 Feb — Piza sejenis makanan Itali yang sudah tidak ganjil lagi. Namun hampir semuanya tidak dimasak menggunakan ketuhar kayu api.
Bagi mengekalkan rasa sebenar piza, seperti proses asal di negara Eropah itu, Wood-fired Oven Pizza (WOP) di Shah Alam menggunakan kayu api.
Membukanya sejak 2015, Ikmal Burhanuddin, 37, mendapat idea lain daripada yang lain itu apabila membuat kajian tentang makanan tersebut.
"Saya masuk kursus memasak piza dan buat kajian bagaimana hendak dapatkan kelembutan dan rasa sebenar, itu yang jumpa piza masak guna kayu api.
"Setelah mengetahui sedikit sebanyak rahsia piza, lahirlah Wood-fired Oven Pizza," katanya kepada ProjekMMO awal minggu ini.
Rasanya, akibat resapan asap kayu, berbeza daripada ketuhar biasa. Menurut amalan penyediaan piza di Naples, Itali, ia lebih wangi dan kenyal.
Menggunakan kayu oak, piza asli di sana dimasak antara 60 hingga 90 saat dalam suhu 485 darjah Celsius.
Pizanya lebih kecil, sekitar 10 ke 12 inci, cukup untuk seorang makan.
"Satu lagi keistimewaan pizza Naples, ia mesti dibuat dengan bahan-bahan segar tanpa hiasan atas, atau topping, melampau.
"Itulah sebab rasanya lebih sedap berbanding piza biasa," kata Ikmal lagi, yang mendapatkan bekalan kayu api dari Klang.
Restorannya menjual secara purata 20 ke 30 piza sehari. Jika permintaan meningkat, jualannya boleh mencecah antara 50 ke 60 keping sehari.
Wood-fired Oven Pizza dibuka pada 4 petang hingga 11 malam dari Isnin ke Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad dari 12 tengah hari hingga 11 malam.
Piza daging salai dan piza udang berempah hidangan yang paling diminati ramai serta cepat habis. Kedua-duanya berharga RM29.
Pilihan-pilihan lain: piza bebola daging RM32, piza ayam dan cendawan RM25, piza ayam sos putih RM26 dan piza Margherita RM22.
Selain piza, WOP juga menyediakan pelbagai makanan Itali seperti pasta dan lasagna dengan harga serendah RM8.
Alamatnya: 1-08-1 Presint Alami, No 2 Persiaran Akuatik di Seksyen 13.
WOP berhampiran dengan Restoran Irfan Maju dan hanya 600 meter dari Tesco Shah Alam. Lebih mudah, cari Wood-fired Oven Pizza di peta Google.
Semak juga Facebook dan Instagram: Wood-fired Oven Pizza atau hubungi 03 5523 0052 untuk pesanan atau pertanyaan.
Untuk menyemak menu dan harga, anda boleh juga melayari laman web wopkl.com.
Sumber Piza ketuhar kayu api, cita rasa sebenar Itali