Presidennya Datuk Aminuddin Md Desa berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan gabungan pemain tempatan dan import yang dipilih ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim.
"Kita perlu berada dalam kelompok teratas. Itu sasaran utama yang kita ingin capai walaupun sedar saingan yang lebih kompetitif bakal disajikan setiap pasukan yang beraksi dalam Liga Super.
"Kita percaya dengan kebolehan, komitmen dan kerjasama antara pihak pengurusan, staf kejurulatihan selain pemain, PKNP FC akan melakukan yang terbaik," katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi PKNP FC di Movie Animation Park Studios (MAPS), di sini, petang Khamis.Beliau berkata PKNP FC juga akan meneruskan objektif dan visi asal pasukan yang mahu melahirkan lebih ramai pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan pada peringkat kebangsaan.
"Kita akan teruskan sepertimana falsafah asal pasukan untuk kita asah bakat baharu dan jika bakat-bakat baharu ini berpotensi, mereka mungkin boleh berhijrah atau digilap ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai tajaan jersi jenama Fila yang bakal digunakan PKNP FC pada musim ini, Aminuddin berkata ia merupakan penghormatan tertinggi selain membuktikan jenama sukan antarabangsa itu mempercayai komitmen ditonjolkan pasukan berstatus kelab dari Perak itu.
"Bagi kami di PKNP FC, ini adalah satu penghargaan daripada Fila yang telah memberi kepercayaan kepada PKNP FC untuk membawa jenama itu khususnya untuk pasukan Liga Belia, Presiden dan Liga Super," katanya.
-- BERNAMA
Sumber PKNP FC sasar kedudukan enam terbaik Liga Super