PENERBIT dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam bersikap positif apabila tidak menyimpan dendam terhadap pelakon Datuk Farid Kamil yang pernah mempertikai kemenangan anaknya, Syamsul dalam Festival Filem Malaysia sebelum ini.
Farid dikatakan mengaitkan kemenangan yang diperolehi Syamsul dalam beberapa kategori kerana pengaruh Yusof ketika itu sebagai Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Yusof, 63, berkata, perkara itu sudah berlalu dan dia tidak berasa apa-apa dengan situasi yang berlaku.
“Terus terang saya cakap, saya tiada perasaan marah terhadap Farid. Bagi saya, dia budak muda dan jiwanya sedang memberontak. Ia adalah perkara biasa.
“Malah kalau ada bahagian yang sesuai, sekiranya Syamsul nak ambil dia berlakon, saya tiada masalah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Yusof, Syamsul juga memberikan respon yang positif untuk mengambil Farid berlakon filem terbitan Skop Productions sekiranya ada watak yang sesuai.
“Saya tiada masalah dengan Farid. Usianya dengan Syamsul pun berbeza beberapa tahun saja. Bagi saya biar industri ini sama-sama dimajukan oleh budak muda.
“Mereka pun pernah bekerjasama dalam filem KL Drift. Syamsul pun pernah menjelaskan dia okay saja apabila berjumpa Farid,” katanya.
Syamsul sebelum ini pernah bercinta dengan Datin Diana Danielle, namun perhubungan mereka terputus di tengah jalan yang akhirnya menyaksikan perkahwinan Diana dengan Farid.
“Dia akur Tuhan sudah tentukan jodohnya tiada dengan Diana. Bagi saya, itu pilihan masing-masing dan Alhamdulillah Syamsul pun sudah ada isteri dan anak.
“Setiap kejadian itu ada hikmahnya dan saya pun mendoakan rumahtangga Farid dengan isteri dan anak-anaknya bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.
Yusof berkata, dia juga menasihatkan Syamsul agar tidak menyimpan perasaan dendam dengan apa yang terjadi sebelum ini.
“Pesan saya buat budak-budak muda, hilangkan perasaan kritik mengkritik satu sama lain. Walaupun tidak setuju, jangan hentam kerana apinya akan memakan diri semula.
“Saya selalu menasihatkan Syamsul agar jangan balas setiap kritikan yang dilemparkan kepadanya. Kalau boleh biarlah selesaikan cara baik. Dan perlu ada sikap bermaaf-maafan,” katanya yang kini sudah meletakkan jawatan sebagai Presiden PFM.
Sumber: Metro
Sumber “Saya tiada dendam dengan Farid Kamil” – Datuk Yusof Haslam