Seniman, Agensi Anti Dadah jalin kerjasama

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menjalinkan kerjasama dua hala dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, kolaborasi itu dilaksanakan berikutan pelbagai masalah berkaitan dadah yang melibatkan golongan artis di negara ini.

"Kita berjaya mencapai pelbagai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama sebagai usaha memerangi najis dadah habis-habisan.

"Antara yang dipersetujui adalah melantik seorang penasihat dari AADK bagi memberi sebarang pandangan yang berkaitan terhadap isu dadah.

"Kita juga akan menjalankan aktiviti bersepadu bersama AADK termasuk pemulihan, latihan, pencegahan, rawatan dan kajian, " katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kepimpinan Seniman membuat kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim, hari ini.

Tidak hanya itu, Hafiz berkata, Seniman turut mencadangkan untuk mengadakan satu forum kesedaran mengenai bahayanya penggunaan dadah dalam kalangan pemain industri seni.

"Kita sememangnya sangat komited dan memandang serius berkenaan dengan isu dadah dalam kalangan artis.

"Untuk itu, kita juga akan mengadakan operasi atau serbuan bersepadu di lokasi penggambaran drama atau filem di negara ini.

"Semuanya akan dilakukan dalam masa terdekat ini," katanya.

Justeru, katanya, Seniman berharap agar orang ramai bersama-sama menggalas tanggungjawab sosial ini demi memartabatkan industri seni agar bebas dadah menjelang tahun 2023.

"Segalanya mungkin, jika kita semua bersatu demi perangi dadah habis-habisan," katanya.



Sumber Seniman, Agensi Anti Dadah jalin kerjasama

Post a Comment

Previous Post Next Post