MALAYSIA adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, iaitu pemimpin negara dipilih melalui pilihan raya setiap lima tahun.
Proses ini penting untuk negara kerana ia akan menentukan dasar dan hala tuju negara serta memajukannya ke tahap lebih baik.
Jika dilihat dari sudut ini, politik berperanan penting kerana ia mengatur dan menguruskan sistem bernegara yang akan mengambil kira kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya. Memandangkan tempoh mandat semasa akan berakhir beberapa bulan lagi, bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin terasa. Di sana sini orang bercakap mengenai politik negara yang tidak sunyi daripada 'gosip' dan berita menarik.
Meskipun politik itu suatu proses dan aktiviti mulia, realitinya cara berpolitik di Malaysia dilihat ada kala jauh tersasar daripada adab dan etika. Mungkin ia terjadi kerana matlamat asalnya yang suci sudah tersasar. Sebagaimana diungkapkan oleh seorang sarjana Barat, Peter H. Merkl: "Politik dalam bentuk sempurnanya adalah usaha murni untuk mencapai tata kelola yang baik dan adil. Bentuk paling buruknya politik ialah perebutan kuasa, takhta dan harta untuk kepentingan peribadi."
Politik yang suci sudah dikotori oleh tangan sebilangan politikus dengan elemen seperti fitnah, penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sehingga rakyat berasa mual. Di sebalik kejelekan itu, ada kempen dalam kalangan pengundi, terutama generasi muda untuk memboikot PRU-14 akan datang. Meskipun, ia tidak menyalahi undang-undang, ia tindakan tidak patut diambil oleh warga negara yang cintakan tanah air. Boikot PRU-14 tidak membantu usaha untuk membawa penambahbaikan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran di dalam negara.
Umpama pisau bermata dua
Begitulah politik. Ia umpama pisau bermata dua yang jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya. Namun, jika disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu, akan berlaku kerosakan dan penyalahgunaan yang memberi kesan negatif kepada sistem sosial masyarakat.
Mengambil kira pentingnya politik dan siasah kepada kesejahteraan manusia, tidak hairanlah ia adalah perkara dititikberatkan dalam Islam. Di dalam al-Quran disebutkan, penciptaan manusia adalah sebagai khalifah di muka bumi (Al-Baqarah: Ayat 30). Politik dan siasah adalah manifestasi falsafah penciptaan manusia iaitu untuk mentadbir alam dan segala isinya.
Sememangnya, politik dan siasah sebahagian daripada tuntutan agama, menerusinya, agenda berteraskan agama dapat dilaksanakan dalam masyarakat serta negara. Namun, adalah salah untuk menganggap politik atau parti politik itu sebagai agama yang perlu dibawa ke seluruh ruang kehidupan. Sehinggakan, saban waktu bercakap mengenai politik seolah-olah agama itu 100 peratusnya adalah politik. Malah, di seluruh ruang komunikasi sosial perlu bercakap mengenai politik dan bergaduh dengan rakan dan keluarga, gara-gara perselisihan faham mengenainya.
Mutakhir ini, hampir sukar untuk perbahasan politik yang ilmiah bersandarkan fakta dan hujah serta bersendikan adab dan akhlak. Sentimen dan emosi yang diterjemahkan melalui kata maki, cacian dan kata-kata kesat mendominasi hampir kesemua ruang perbahasan politik, terutamanya di media sosial.
Jika dilihat kepada cara berpolitik masyarakat kita, trend perbincangan lebih menjurus kepada politik kepartian dan bukan berasaskan pengisian atau keabsahan subject-matter yang diperbincangkan. Di sinilah dapat dilihat bagaimana berpolitik secara fanatik kepartian akan menyebabkan seseorang atau sesuatu pihak akan menjustifikasi baik buruk sesuatu perkara berdasarkan parti atau pihak yang mengetengahkan perkara itu. bukannya berdasarkan perkara itu sendiri.
Sikap fanatik ini akan menyebabkan seseorang atau sesuatu pihak akan menganggap 'aku sahaja atau kumpulan aku sahaja yang betul' manakala 'orang lain atau kumpulan lain semua salah'. Paling parah, jika elemen agama digunakan untuk menjustifikasikan pandangan politik masing-masing. Contohnya, apabila pembabitan di dalam parti politik dianggap boleh menentukan siapa yang lebih Islam atau kurang Islam atau siapa ahli syurga dan neraka. Fanatik kepada politik kepartian secara ekstrem sebegini akan menjejaskan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Politik itu bukan untuk diboikot, ia harus diamalkan secara harmoni dan bersederhana. Jangan berlebihan dan fanatik dalam menyokong pihak yang disukai atau membangkang pihak dibenci sehingga hilang pertimbangan waras akal serta akhlak terpuji.
Politik itu sifatnya dinamik dan pendekatannya berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Berpada-pada dalam menyokong dan membangkang. Biarlah ia dilakukan dengan ilmu dan hujah, bukan emosi atau sentimen. Jangan disokong perkara buruk hanya kerana ia datang dari pihak yang kita suka dan jangan ditentang perkara baik, hanya kerana ia datang dari pihak kita tidak suka.
Tiada musuh, kawan kekal
Sesungguhnya, tiada musuh dan kawan yang kekal dalam politik. Orang yang dihentam habisan-habisan sebelum ini, kini boleh menjadi kawan. Begitu juga, orang yang dahulu makan setalam kini menjadi lawan politik.
Politik adalah wasilah menentukan hala tuju siasah negara bukannya agama yang akan menentukan keabsahan akidah kita. Jangan kerana perbezaan pandangan politik hilang nilai akhlak Islam, nilai kemanusiaan dan semangat 'keMalaysiaan'. Parti politik harus gunakan ruang demokrasi dalam negara untuk menawarkan pakej pentadbiran terbaik untuk membawa negara ke tahap lebih tinggi dan dihormati. Parti politik harus gunakan prinsip agama seperti ketelusan dan kebertanggugjawaban untuk dijadikan panduan dalam berpolitik, bukannya mempergunakan agama untuk menutup kesilapan dan kemungkaran atau dijadikan modal untuk mendapatkan 'mileage' politik masing-masing.
PRU adalah medan menunaikan tanggung jawab sebagai warga. Hadapinya dengan berhemah, bukan boikot!
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Sumber Sokongan ekstrem jejas keharmonian