BARCELONA: Jurulatih Barcelona Ernesto Valverde menegaskan juara bertahan Piala Raja Sepanyol itu tidak boleh memandang rendah terhadap Valencia yang terbabit isu kecederaan menjelang aksi pertama separuh akhir piala berkenaan di Camp Nou.
"Apabila anda mara ke separuh akhir anda perlu memanfaatkan tuah yang dimiliki," kata Valverde.
"Perlawanan separuh akhir, ia satu peluang untuk ke final dan kami perlu memberikan segala-galanya untuk ke sana.
"Valencia juga akan melakukan perkara sama. Perlawanan ke final bukannya berlaku setiap hari," kata Valverde yang pasukannya sudah pun menewaskan Celta Vigo dan Espanyol dalam saingan piala itu bulan ini.
Barcelona, yang menjulang kejuaraan sebanyak 29 kali, mahu menjadi pasukan pertama menjulang piala itu empat tahun berturut-turut selepas Athletic Bilbao pada 1930-an.
PENYERANG sensasi Barca, Lionel Messi (kiri) perlu mantapkan jentera serangan pada aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol. FOTO/AFP
Mereka menjadi pilihan utama untuk mara ke final kelima berturut-turut, ketika Valencia kehilangan tiga pemain utama mereka iaitu Goncalo Guedes, Geoffrey Kondogbia dan Ezequiel Garay akibat kecederaan.
"Mereka mengalami kesan akibat terlalu banyak perlawanan Januari ini," kata Valverde yang pernah mengendalikan Valencia selama enam bulan iaitud dari 2012 hingga 2013.
Barcelona membelasah Valencia 8-1 secara agregat, selepas menang 7-0 pada aksi pertama peringkat sama dua tahun lalu namun Valverde mengakui jaringan seumpamanya sukar diulangi.
"Ia tidak akan menjadi seperti sebelum ini, 7-0 bukan sesuatu yang biasa untuk perlawanan pertama. Valencia begitu lemah ketika itu tetapi mereka kini memiliki pasukan yang mampu memenangi mana-mana perlawanan."
Pada perlawanan separuh akhir pertama awal pagi tadi, Leganes yang mengejutkan Real Madrid pada suku akhir, bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk seri 1-1 dengan Sevilla. - AFP
Sumber Usah pandang rendah Valencia: Valverde