Tengku Permaisuri Norashikin ziarah bayi ditemui dalam sebuah beg sekolah

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat untuk lawatan tidak rasmi ke Wad Bersalin, Hospital Shah Alam hari ini bagi menziarah seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) pada 28 Januari lalu.

Keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor secara mengejut itu diiringi oleh Penaung Diraja RACTAR, Tengku Puan Panglima Perlis Tengku Puteri Nor Zehan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Bayi lelaki yang berusia hampir seminggu itu ditemui dalam sebuah beg sekolah yang ditinggalkan di hadapan rumah kebajikan tersebut.

Tengku Permaisuri Selangor yang terkesan dengan berita itu berkenan untuk melihat sendiri perkembangan bayi berkenaan, yang kini dalam keadaan sihat dan diletakkan di bawah pemantauan rapi.

Baginda turut meluahkan rasa dukacita dan simpati terhadap apa yang berlaku khususnya peningkatan gejala sosial seperti pembuangan bayi yang amat membimbangkan.

“Saya merasakan ibu bapa, keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan sekaligus mengelakkan anak-anak daripada terjerumus ke arah melakukan perkara-perkara negatif.

"Saya amat sedih melihat bayi yang tidak berdosa ini menjadi mangsa di atas kesilapan pertimbangan individu tertentu yang mungkin belum matang dalam berfikir dan membuat keputusan,” titah Baginda.

Baginda juga berharap pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam membanteras gejala-gejala sosial yang tidak elok di kalangan remaja yang boleh membawa kepada insiden pembuangan bayi.

“Kejadian pembuangan bayi ini seharusnya membuka mata masyarakat untuk lebih peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling.

Beta rasa dengan pegangan agama yang teguh, perkara-perkara sebegini boleh dielakkan kerana Islam juga mengharamkan pembuangan bayi dan merupakan satu dosa yang besar," titah Baginda lagi.



Sumber Tengku Permaisuri Norashikin ziarah bayi ditemui dalam sebuah beg sekolah

Post a Comment

Previous Post Next Post