TPM jadi wakil pengedar produk kuasa solar

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) dan Green Planet Energy Co Ltd (GPE) Korea Selatan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam projek tenaga boleh diperbaharui ladang solar berskala besar dan projek Biomass.

Memorandum yang dimeterai antara dua pihak itu menjangkakan TPM akan menjadi wakil atau sumber pengedar eksklusif produk berkuasa solar GPE yang disertai dengan sokongan teknikal di Malaysia bagi 10 tahun ke depan.

GPE ditubuhkan pada 2014 dengan perniagaan utamanya adalah penjanaan kuasa tenaga boleh diperbaharui.

Memorandum itu dimeterai antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Ir Mohd Azman Shahidin dan Ketua Pegawai Eksekutif GPE, Dong Jin Sin.

Azman berkata, kolaborasi itu mungkin dapat melihat penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) sebagai entiti pembeli tenaga boleh diperbaharui (PPE), yang penggunaannya kurang daripada 100MW setahun.

"GPE pada awalnya ingin menyediakan pelaburan dan teknologi untuk operasi PPE, manakala TPM Engineering Sdn Bhd (TPME) akan menyumbang dalam pembuatan fabrikasi panel dan integrasi sistem yang bersesuaian.

"Kami berharap kerjasama ini akan menjadi usaha yang memberangsangkan seiring dengan trend peningkatan permintaan tenaga boleh diperbaharui selain membuka peluang perniagaan.

"Kami percaya sinergi antara TPM dan GPE akan memberikan hala tuju yang tepat kepada syarikat Malaysia untuk terus meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan kepakaran dan kemudahan yang canggih daripada TPME, pihaknya yakin bahawa keupayaan dan kemampuan TPM untuk mengeluarkan produk berasaskan solar GPE akan menjadi satu lagi kejayaan bernilai tambah kepada kepakaran kejuruteraan mereka.



Sumber TPM jadi wakil pengedar produk kuasa solar

Post a Comment

Previous Post Next Post