8 Sebab Rakyat Malaysia Perlu Tonton ‘Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan’!

Bergelar seorang wira negara, Datuk Lee Chong Wei merupakan figura yang sudah banyak memberi insipirasi buat rakyat Malaysia atas kegigihan serta deretan kejayaan telah diraih di arena sukan badminton.

Sehingga menjadikan beliau sebagai salah seorang atlit yang tersohor dalam sejarah Malaysia. Bahkan pernah berada di ranking pemain nombor satu terbaik dunia.

Namun, ramai yang mungkin tidak tahu mengenai kisah disebalik kejayaan anak kelahiran Bagan Serai ini seawal mula dia 'jatuh cinta' pada dunia badminton dan seterusnya menjadikan sukan itu sebagai karier dan sebahagian daripada hidupnya.

Mulai 15 Mac ini, bukan saja seluruh rakyat Malaysia malah para peminat antarabangsa Lee Chong Wei berpeluang menonton kisah hidupnya di layar perak menerusi filem biografi Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan arahan pengarah veteran Teng Bee.

Malaysian Digest diberikan kesempatan menonton filem ini lebih awal pada sesi tayangan media, pada Selasa lalu. Setelah menonton filem yang berdurasi selama lebih dua jam, apa yang boleh dikatakan filem ini sudah pun menempah tempatnya sebagai antara filem tempatan terbaik 2018.

..

Kalau ada rasa ragu-ragu, berikut adalah 8 sebab kenapa anda patut menonton filem ini:

1. Telusuri kisah hidup awal LCW yang penuh dengan liku

Filem ini dimulakan dengan kisah LCW yang masih dalam sekolah rendah, hidup di sebuah perkampungan kecil di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Seperti banyak atlit elit Malaysia yang lain, beliau bukanlah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berada dan banyak cabaran yang perlu diatasi bukan saja oleh beliau, tetapi ibu bapanya juga.

2. Lakonan Baik Oleh Pelakon Watak LCW, Tosh Chan dan Jake Eng

Watak LCW yang masih kecil dimainkan oleh pelakon cilik Jake Eng, manakala watak LCW yang sudah remaja dimainkan oleh Tosh Chan. Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman berlakon sebelum ini, Tosh Chan mampu memainkan wataknya dengan baik dalam hampir keseluruhan filem, terima kasih atas bantuan Teng Bee dan pasukan produksi.

Di dalam babak-babak perlawanan badminton yang penuh mendebarkan, Tosh berjaya menunjukkan eskpresi seorang atlit yang sangat tertekan dan cuba untuk memberikan hasil yang terbaik. Malah, wajah Tosh yang mempunyai iras-iras LCW sendiri berjaya membuatkan para penonton untuk mendalami perasaan beliau semasa dalam perlawanan yang sebenar.

3. Barisan Pelakon Yang Berkualiti Untuk Watak-watak Pembantu

Watak sampingan dibarisi pelakon veteran seperti Mark Lee dan Leo Yann Yann sebagai ibu bapa LCW, Datuk Rosyam Nor sebagai legenda badminton negara dan jurulatih LCW Datuk Misbun Sidek, dan Datuk Norman Pang, Ashley Hua, Freddie Wong, Uriah See dan Bernard Siew.

Mark dan Leo Yann memberikan lakonan cemerlang sebagai ibu bapa kepada watak utama, yang merupakan sumber inspirasi buat LCW sendiri. Manakala Datuk Rosyam Nor berjaya memainkan watak Datuk Misbun yang penuh tegas terhadap anak-anak didiknya dan sentiasa memotivasikan LCW untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

4. Interaksi Sesama Watak Yang Sangat Mendalam

Rasanya rakyat Malaysia sudah pun tahu tentang hubungan Misbun-LCW yang bukan setakat atlit-jurulatih, tetapi sudah seperti seorang ayah dan anaknya.

Terdapat beberapa babak yang sangat emosional dalam filem ini yang mengutarakan hubungan rapat antara LCW dan keluarga Misbun.

Para penonton juga akan memahami pengorbanan dan motivasi ibu bapa LCW yang pada mulanya kurang gemar melihat anak mereka menceburi dalam sukan badminton, tetapi menjadi semakin menyokong anak mereka sepanjang filem.

5. Mampu Membuatkan Anda Berdebar-debar Sementara Mengetahui Kesudahannya

Beberapa perlawanan badminton Lee Chong Wei yang ikonik telah diadaptasi dalam filem ini, dan para peminat LCW sudah tentunya akan mengetahui keputusan perlawan-perlawanan tersebut. Namun, pasukan produksi telah berjaya untuk membuat kami berdebar-debar untuk mengtahui klimaks filem ini, walaupun kita sudah tahu kesudahannya.

Daripada muzik yang sangat dramatik, hingga suntingan (editing) dan sinematografi yang berkesan, Teng Bee dan pasukan produksinya berjaya membikin sebuah filem yang sangat menarik dan mendebarkan, walapun ia berkisar tentang sesuatu yang sudah pun diketahui ramai.

6. Tambah Pengetahuan Tentang Sejarah Badminton Negara

Selain LCW dan Misbun, terdapat beberapa lagi atlit badminton kita yang diadaptasi ke dalam filem ini, walaupun cuma sekadar beberapa minit. Antaranya ialah Wong Choong Hann dan Hafiz Hashim yang terkenal dengan kemenangannya dalam kejuaraan All-England pada 2003. Turut disertakan ialah beberapa easter egg dan dialog yang menceritakan tentang zaman kegemilangan adik-beradik Sidek yang memenangi Thomas Cup pada 1992.

Turut ditampilkan dalam filem ini, terutamnya dalam third act ialah pesaing utama LCW dari China, Lin Dan.

7. Fahami Bagaimana Hidup Sebagai Seorang Atlit Badminton Professional

Filem ini juga menceritakan tentang pengalaman seorang atlit yang bermula dari gelanggang-gelanggang kecil di Bukit Mertajam hinggalah ke pusat latihan profesional di Akademi Badminton Negara. Sedikit sebanyak anda boleh lihat bagaimana LCW dan atlit-atlit lain menjalani latihan fizikal dan mengendali tekanan emosional yang diletakkan kepada mereka sebagai atlit harapan negara.

Kami rasa terdapat beberapa babak di Akademi yang sudah ditambah-tolak untuk memberikan unsur-unsur dramatik, namun tidak terlalu banyak.

8. Paling Penting… Filem Ini Akan Buat Kita Bersemangat Untuk Mencapai Sebarang Impian

Sebaik sahaja kami melangkah keluar dari panggung wayang, kami meraskan bahawa kami boleh mencapai apa sahaja impian yang kami mahu, selagi kami mampu berkorban masa dan tenaga untuk impian-impian itu.

Jika anda memerlukan sumber motivasi untuk lebih berjaya dalam kerjaya anda, jangan berlengah lagi! Tonton Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.



Sumber 8 Sebab Rakyat Malaysia Perlu Tonton ‘Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan’!

Post a Comment

Previous Post Next Post